PENGUMUMAN : DAPATKAN SEGERA.......buku NASIHAT KEPADA ANAK BERKENAAN IBU BAPA.......buku yang memperincikan tanggung jawab anak terhadap ibu bapa. Miliki segera untuk mendalami lagi tanggung jawab anda kepada ibu bapa anda. Juga supaya anak-anak anda memahami tanggung jawab mereka terhadap anda sebagai ibu bapa*****-------- DAPATKAN SEGERA....NOTA GEMILANG PENDIDIKAN ISLAM SPM....buku rujukan/nota Pendidikan Islam SPM yang sangat sesuai untuk calon-calon SPM*****Dapatkan juga MODUL GEMILANG PENDIDIKAN ISLAM TING 4 dan MODUL GEMILANG PENDIDIKAN ISLAM TING 5, buku kerja yang akan menjadikan PDPC anda lebih mudah, berkesan dan menarik......SELAMAT HARI RAYA IDIL FITRI 2017, MAAF ZAHIR DAN BATIN^^^^^^SEMUA GURU PEND ISLAM/B ARAB DIPELAWA MENYERTAI GROUP FACEBOOK DISKUSI GURU PENDIDIKAN ISLAM.....Hubungi saya di umat66@gmail.com.BLOG INI LEBIH SESUAI DILAYARI MENGGUNAKAN MOZILLA FIREFOX...MUNGKIN PAPARANNYA BERBEZA JIKA MENGGUNAKAN INTERNET EXPLORER

Usah buta kerana cinta

Sunday, October 17, 2010






MUTAKHIR ini banyak kisah menyanyat hati yang berlaku kerana cinta. Antaranya membiarkan kekasih mendera anak, lari mengikut kekasih hati sehingga ke luar negara, sanggup besekedudukan tanpa nikah, pembuangan bayi, sanggup menjadi keldai dadah dan berbagai lagi. Ianya dilakukan dengan rela hati kerana cinta yang mendalam.

Cinta memang indah, ia boleh membutakan mata dan hati. Kerana itulah lahirnya ungkapan 'cinta itu buta'. Cinta tidak kenal usia, jantina, pangkat dan kedudukan. Sekali terjatuh ke dalamnya, tentu bukan senang untuk berfikir dan keluar darinya. Kerana itu berfikirlah sebelum kita membuat keputusan untuk bercinta, sebelum kita menerjunkan diri kita ke dalam dunia percintaan. Janganlah jadi buta kerana cinta. Jika ditakdirkan jatuh cinta, bercintalah dengan waras. Bercintalah mengikut pedoman dan panduan yang tidak menyalahi aturan syarak dan adab.


Cinta bukan segalanya

Ramai orang terutamanya yang baru pertama kali bercinta menyakini bahawa cinta adalah segala-galanya. Mereka fikir, dengan cinta mereka akan hidup bahagia dan sempurna selamanya bersama pasangan mereka. 'Lautan api akan ku renangi' begitulah hebatnya kesetiaan dan kesediaan dalam bercinta. Kerana cinta mereka sanggup melakukan apa sahaja, asalkan dapat bersama orang yang dicintai

Tetapi hakikatnya tidak begitu. Jauh panggang dari api. Makanan, pakaian, keperluan anak tidak dapat dibeli dengan cinta. Anda dan pasangan akan hidup susah dan melalui kesempitan tanpa duit. Perbelanjaan semasa bercinta dengan selepas bersama tidak sama. Takkan mahu bergantung selamanya kepada ibu bapa. Oleh itu jangan menggadai persekolahan dan pembelajaran kerana cinta. Apa guna anda hidup miskin dan merempat bersama kekasih anda, sedangkan kawan anda mendapat pekerjaan dan suami yang baik walaupun tidak melalui percintaan seperti anda. Sanggupkah anda miskin seumur hidup asalkan dapat bersama pasangan anda? Jika anda sanggup, andakah pasangan anda juga sanggup?

Cinta lelaki lebih cenderung kepada seks

Suatu perkara yang perlu disedari oleh kaum wanita terutamanya remaja, bahawa cinta lelaki sebenarnya lebih condong kepada seks. Perempuan biasanya lebih kepada kasih sayang dan kesetiaan. Kerana sayang dan mahu mempertahankan kesetiaan perempuan mudah terperangkap dan terpaksa menyerahkan maruah mereka kepada lelaki, kerana itulah antara fokus lelaki dalam bercinta.

Sifat perempuan yang naif dan mudah dipujuk akan dipergunakan sepenuhnya oleh lelaki. Padahal dalam diri lelaki terlalu sedikit rasa setia. Mereka lebih inginkan kepuasan seks dan hiburan sahaja. Kerana itu lelaki akan lebih cepat bertukar cinta apabila ada peluang baru. Dalam satu masa mereka sebenarnya lebih suka memilih untuk mempunyai lebih dari seorang kekasih hati. Malah kadang-kadang mereka sanggup membawa kekasih mereka untuk diratah bersama rakan-rakan mereka.

Perempuan lebih menanggung risiko cinta

Percintaan yang tersasar akan meletakkan perempuan dalam risiko yang lebih tinggi. Selain kehilangan maruah diri, maruah keluarga juga akan turut tercemar. Mereka berisiko mengandung di luar nikah. Untuk menutup malu dan mencari lelaki yang bertanggungjawab mereka mungkin terpaksa berhenti sekolah dan berkahwin. Kalau tiada lelaki yang sanggup bertanggung jawab, mungkin bayi itu akan dibuang. Pendek kata, berkahwin atau tidak, kedua-duanya akan menjadikan masa depan perempuan itu lebih kelam dan suram.

Berbeza dengan lelaki, mereka akan bersikap lepas tangan apabila terpaksa. Mereka sebenarnya tidak bersedia untuk menjadi bapa. Mereka hanya ingin bersuka-suka sahaja. Tinggallah perempuan menanggung derita

Kehangatan Cinta ada penghujungnya

Jangan sesekali tertipu. Hayat cinta ada penghujungnya. Cinta boleh mekar dan hangat dalam tempoh tertentu sahaja. Mungkin setahun, mungkin dua tahun atau mungkin lima tahun. Selepas itu ianya akan pudar dan pupus. Tetapi kenapa ada rumah tangga yang boleh bertahan sampai 20 atau 30 tahun? Ada yang 50 tahun..sampai ke mati?

Sebenarnya bukan cinta yang membolehkan mereka bertahan selama itu. Rasa kebertanggungjawaban, rasa kasihan, rasa menghargai antara satu sama lain, anak-anak dan pegangan agamalah yang menjadikan mereka terus bersama walaupun sebenarnya kehangatan cinta telah pupus di jiwa mereka. Kerana itu, sikap-sikap tersebut sangat perlu diberi perhatian dalam memilih pasangan. Jika betul diikutkan cinta, sesuatu perkahwinan akan bertahan tidak lebih 5 tahun sahaja. Itulah yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat barat sekarang terutamanya artis sehingga menjadikan mereka takut untuk berkahwin. Trend ini nampaknya mula menular dalam kalangan selebriti tempatan, yang bercinta bagai nak 'rak' tetapi selepas dua tahun berkahwin, mula bergaduh sana bergaduh sini..

Masa bercinta dan berumahtangga adalah berbeza

Masa bercinta semuanya baik. Kekasih anda akan sentiasa cuba memenuhi setiap permintaan anda, walaupun sukar. Mintalah kekasih anda supaya melakukan apa sahaja, pasti akan cuba dipenuhinya. Pendek kata, semua perbuatan, sikap dan percakapannya akan sentiasa disesuaikan dengan selera anda.

Tetapi selepas berkahwin, ianya akan berubah. Mungkin 360 darjah. Selepas habis tempoh 'honeymoon' semua sikap dan perangai sebenarnya akan terserlah satu demi satu. Jauh berbeza dengan semasa bercinta dulu. Jika bernasib malang, bertemulah anda dengan suami yang menagih, panas baran, playboy, malas bekerja dan sebagainya..

Cinta tidak dapat mengatasi takdir

Jika anda bernasib baik, bertemu jodoh dengan orang yang baik dan teguh kewangan sekalipun, janganlah anda berkorban 100%, seperti berhenti sekolah kerana cinta atau berhenti kerja untuk bersama orang yang anda sayangi. Ingatlah takdir mungkin akan memisahkan anda darinya. Mungkin pasangan anda akan menemui ajal terlebih dahulu daripada anda. Ketika itu anda akan terkapai-kapai untuk meneruskan kehidupan. Sedangkan anda telah berhenti kerja untuk bersamanya. Bagaimana anda mahu menyara keluarga selepas itu?

Hubungan cinta boleh putus, hubungan keluarga tidak akan putus

Pasangan yang sedang dibuai cinta sering meletakkan kekasih mereka melebihi ibu bapa dan keluarga mereka sendiri. Mereka sanggup bertengkar dengan ibu bapa demi kekasih mereka. Bahkan ada yang sanggup lari meninggalkan keluarga untuk bersama kekasih hati. Malang sekali, mereka terlupa bahawa hubungan cinta bukanlah sesuatu yang kekal. Ianya boleh terputus bila-bila masa sahaja. Ketika itu barulah mereka sedar betapa tingginya langit. Lalu mereka pualang semula ke pangkuan keluarga. Baik nasib mereka, kerana hubungan ibu bapa dengan anak-anak tidak akan putus, walaupun anak-anak telah membuang ibu bapa, telah memalukan dan mencincang hati mereka. Seburuk manapun anak, ia tetap diterima semula oleh keluarga.

Oleh itu janganlah sesekali membuang keluarga demi kekasih

Melukakan hati ibu bapa adalah derhaka

Walaupun begitu perbuatan mereka tadi tetap dianggap sebagai derhaka kepada ibu bapa. Kerana mereka telah menyakitkan hati, menyusahkan dan memalukan ibu bapa. Mendahulukan kekasih dari ibubapa, lari mengikut kekasih, memutuskan hubungan dengan ibu bapa, berkahwin tanpa izin ibu bapa tanpa sebab yang sah..semuanya termasuk dalam derhaka kepada ibu bapa.

Derhaka kepada ibu bapa merupakan dosa besar. Ia akan menghalang seseorang daripada syurga. Itulah yang selalu kita dengar 'syurga di bawah telapak kaki ibu'. Cinta tidak sepatutnya menjadikan seseorang itu sebagai anak yang derhaka.


Manusia tidak akan mampu menanggung azab Allah

Akhir sekali perlu diingati, bahawa azab Allah itu terlalu pedih. Elakkan dan hindarilah walaupun anda sedang bercinta. Jangan sampai melakukan maksiat dalam bercinta seperti bersentuhan antara lelaki dan perempuan dan melakukan zina. Mungkin ada segelintir orang yang memandang remeh tentang dosa dan balasan neraka. Tetapi percayalah bahawa kesemua itu adalah benar dan manusia tiadak akan mampu menanggung azab Allah itu di akhirat kelak. Mereka akan menyesal dengan sebenar-benar penyesalan kelak.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
 
 

Segala kandungan dalam blog ini adalah pendapat penulis. Jika ada yang salah, penulis pohon jutaan maaf, sentiasalah merujuk dan berpegang dengan pendapat yang lebih teguh dalilnya. Blog ini hanyalah sekadar perkongsian sesama insan daripada penulis yang lemah dan masih jahil