Pada suatu hari nabi Ibrahim a.s telah diperintahkan oleh Allah ta’ala untuk membawa isteri keduanya, Hajar beserta anaknya yang baru dilahirkan, Ismail a.s untuk ditinggalkan di suatu tanah gersang kering kontang yang dinamakan Makkah. Ismail adalah satu-satunya anak Nabi Ibrahim ketika itu..anak yang diperolehinya setelah beliau telah hampir berputus asa untuk memperolehi anak kerana usianya yang sudah tua tetapi belum mendapat anak. Dan Hajar pula merupakan isteri kedua yang baru dinikahinya. Bayangkan betapa kasih dan sayangnya Nabi Ibrahim terhadap kedua insan tersebut.
Tetapi sebaik saja menerima perintah Allah tersebut, nabi Ibrahim a.s tanpa banyak soal terus membawa isteri dan anaknya itu dalam suatu perjalanan yang amat jauh (dari Palestin ke Makkah) dan tanpa memberitahu ke mana destinasi yang dituju mereka dan apakah tujuan perjalanan tersebut kepada anak isterinya.
Makkah ketika itu merupakan suatu tempat yang tidak pernah didiami oleh manusia. Ia satu tempat yang gersang, kering kontang, tiada hidupan, tiada air, tiada tumbuhan dan tiada orang lalu-lalang sekalipun. Kawasan liar yang tidak sesuai untuk dihuni.
Setibanya di sana, maka diarahkanlah isterinya Hajar dan anaknya Ismail a.s turun dari tunggangan unta tersebut. Tanpa bercakap sepatah apa pun, hatta untuk mengucap selamat tinggal sekali pun, nabi Ibrahim a.s berlalu meninggalkan anak isterinya di situ. Maka tercengang-cenganglah isterinya. Hajar merayu kepada nabi Ibrahim a.s agar tidak meninggalkannya di situ. Hajar juga terus bertanya kepada suaminya mengapa mereka ditinggalkan di situ. Akan tetapi nabi Ibrahim a.s terus berlalu tanpa sedikitpun berpaling atau menjawab rayuan Hajar itu.
Sehingga akhirnya apabila Hajar bertanya adakah itu semua adalah suruhan dan perintah Allah? Maka barulah nabi Ibrahim a.s berhenti sebentar (tanpa berpusing melihat isteri dan anaknya) dan menjawab: “Ya, ini adalah perintah Allah”, lantas disambung perjalanannya kembali dan mendengar jawapan itu, maka redhalah Hajar dengan apa yang dihadapinya itu (hebat sungguh seorang isteri kepada seorang nabi yang juga tinggi ketaqwaannya). Selepas beberapa jauh perjalanan, barulah nabi Ibrahim melihat ke belakang, akan tetapi kelibat isteri dan anaknya sudah tidak kelihatan. Lantas baginda berdoa dan bertawakkal memohon Allah memelihara isteri dan anak yang ditinggalkannya itu.
Itulah bukti taatnya nabi Ibrahim dalam melaksanakan perintah Allah. Terlalu banyak cinta kasih sayang di hati terhadap anak kecil dan isterinya itu. Bertahun-tahun beliau mendoakan agar diberikan zuriat. Keduanya merupakan permata dan jantung hati baginda. Tetapi perintah Allah dijunjung tinggi..Walau terpaksa mengorbankan keduanya, nabi Ibrahim tetap akur...
Pengajaran
1. Taatlah kepada Allah walau anda terpaksa mengorbankan sesuatu yang sangat anda sayangi dan sukai seperti anak isteri, harta, pangkat atau sebagainya
2. Redhalah dengan takdir Allah terhadap diri anda walaupun ianya sangat malang dan menyedihkan hati
3. Hukum dan perintah Allah wajib dilaksanakan tanpa sebarang alasan dan helah
0 comments:
Post a Comment