Imam
Abu Hanafih adalah seorang imam Mazhab yang besar
dalam dunia Islam. Dalam empat mazhab yang terkenal
tersebut hanya Imam Hanafi yang bukan orang Arab.
Beliau keturunan Persia atau disebut juga dengan bangsa
Ajam. Pendirian beliau sama dengan pendirian imam yang
lain, iaitu sama-sama menegakkan Al-Quran dan sunnah Nabi
SAW.
Imam
Hanafi dilahirkan pada tahun 80 Hijrah bertepatan tahun
699 Masehi di sebuah kota bernama Kufah. Nama yang
sebenarnya ialah Nu’man bin Tsabit bin Zautha bin Maha. Kemudian
masyhur dengan gelaran Imam Hanafi.
Kemasyhuran nama tersebut menurut para ahli sejarah ada beberapa sebab:
1.
Kerana ia mempunyai seorang anak laki-laki yang bernama
Hanifah, maka ia diberi julukan dengan Abu Hanifah.
2. Kerana semenjak kecilnya sangat tekun belajar dan menghayati
setiap yang dipelajarinya, maka ia dianggap seorang yang
hanif (kecenderungan/condong) pada agama. Itulah
sebabnya ia masyhur dengan gelaran Abu Hanifah.
3. Menurut bahasa Persia, Hanifah bererti tinta. Imam Hanafi
sangat rajin menulis hadith-hadith, ke mana, ia pergi selalu
membawa tinta. Kerana itu ia dinamakan Abu Hanifah.
Waktu ia
dilahirkan, pemerintahan Islam berada di tangan Abdul
Malik bin Marwan, dari keturunan Bani Umaiyyah kelima.
Kepandaian Imam Hanafi tidak diragukan lagi, beliau mengerti
betul tentang ilmu fiqih, ilmu tauhid, ilmu kalam, dan juga ilmu
hadith. Di samping itu beliau juga pandai dalam ilmu
kesusasteraan dan hikmah.
Imam
Hanafi adalah seorang hamba Allah yang bertakwa dan
soleh, seluruh waktunya lebih banyak diisi dengan amal
ibadah. Jika beliau berdoa matanya bercucuran air mata demi
mengharapkan keredhaan Allah SWT. Walaupun demikian orang-orang
yang berjiwa jahat selalu berusaha untuk menganiaya
beliau.
Sifat
keberanian beliau adalah berani menegakkan dan
mempertahankan kebenaran. Untuk kebenaran ia tidak takut sengsara
atau apa bahaya yang akan diterimanya. Dengan keberaniannya
itu beliau selalu mencegah orang-orang yang melakukan
perbuatan mungkar, kerana menurut Imam Hanafi kalau
kemungkaran itu tidak dicegah, bukan orang yang berbuat
kejahatan itu saja yang akan merasakan akibatnya,
melainkan semuanya, termasuk orang-orang yang baik yang
ada di tempat tersebut
Sebahagian
dilukiskan dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bahawa
bumi ini diumpamakan sebuah bahtera yang didiami oleh
dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah terdiri orang-orang
yang baik-baik sementara kumpulan kedua terdiri dari yang
jahat-jahat. Kalau kumpulan jahat ini mahu merosak
bahtera dan kumpulan baik itu tidak mahu mencegahnya,
maka seluruh penghuni bahtera itu akan binasa. Tetapi
sebaliknya jika kumpulan yang baik itu mahu mencegah
perbuatan orang-orang yang mahu membuat kerosakan di
atas bahtera itu, maka semuanya akan selamat.
Sifat
Imam Hanafi yang lain adalah menolak kedudukan tinggi
yang diberikan pemerintah kepadanya. Ia menolak pangkat
dan menolak wang yang dibelikan kepadanya. Akibat dari
penolakannya itu ia ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara.
Di dalam penjara ia diseksa, dipukul dan sebagainya.
Gabenor
di Iraq pada waktu itu berada di tangan Yazid bin
Hurairah Al-Fazzari. Selaku pemimpin ia tentu dapat
mengangkat dan memberhentikan pegawai yang berada di bawah kekuasaannya.
Pernah pada suatu ketika Imam Hanafi akan diangkat
menjadi ketua urusan perbendaharan negara (Baitul mal),
tetapi pengangkatan itu ditolaknya. Ia tidak mahu
menerima kedudukan tinggi tersebut. Sampai berulang
kali Gabenor Yazid menawarkan pangkat itu kepadanya,
namun tetap ditolaknya.
Pada
waktu yang lain Gabenor Yazid menawarkan pangkat Kadi
(hakim) tetapi juga ditolaknya. Rupanya Yazid tidak
senang melihat sikap Imam Hanafi tersebut. Seolah-olah Imam Hanafi
memusuhi pemerintah, kerana itu timbul rasa curiganya. Oleh
kerana itu ia diselidiki dan diancam akan dihukum
dengan hukum dera. Ketika Imam Hanafi mendengar kata
ancaman hukum dera itu Imam Hanafi menjawab: “Demi
Allah, aku tidak akan mengerjakan jabatan yang
ditawarkan kepadaku, sekalipun aku akan dibunuh oleh pihak
kerajaan.” Demikian beraninya Imam Hanafi dalam menegakkan pendirian
hidupnya.
Pada
suatu hari Yazid memanggil para alim ulama ahli fiqih
yang terkemuka di Iraq, dikumpulkan di muka istananya.
Di antara mereka yang datang ketika itu adalah Ibnu Abi Laila.
Ibnu Syblamah, Daud bin Abi Hind dan lain-lain. Kepada mereka,
masing-masing diberi kedudukan rasmi oleh Gabenor.
Ketika
itu gabenor menetapkan Imam Hanafi menjadi Pengetua
jawatan Sekretari gabenor. Tugasnya adalah bertanggungjawab
terhadap keluar masuk wang negara. Gabenor dalam memutuskan jabatan
itu disertai dengan sumpah, “Jika Abu Hanifah tidak
menerima pangkat itu nescaya ia akan dihukum dengan
pukulan.”
Walaupun
ada ancaman seperti itu, Imam Hanafi tetap menolak
jawatan itu, bahkan ia tetap tegas, bahawa ia tidak
mahu menjadi pegawai kerajaan dan tidak mahu campur tangan dalam
urusan negara.
Kerana
sikapnya itu, akhirnya ditangkap oleh gabenor. Kemudian
dimasukkan ke dalam penjara selama dua minggu, dengan
tidak dipukul. Lima belas hari kemudian baru dipukul sebanyak
14 kali pukulan, setelah itu baru dibebaskan. Beberapa hari
sesudah itu gabenor menawarkan menjadi kadi, juga
ditolaknya. Kemudian ditangkap lagi dan dijatuhi
hukuman dera sebanyak 110 kali. Setiap hari didera
sebanyak sepuluh kali pukulan. Namun demikian Imam
Hanafi tetap dengan pendiriannya. Sampai ia dilepaskan kembali
setelah cukup 110 kali cambukan.
Akibat
dari pukulan itu muka dan seluruh badannya menjadi
bengkak-bengkak. Hukuman cambuk itu sengaja untuk menghina
Imam Hanafi. Walaupun demikian ketika Imam Hanafi diseksa ia sempat
berkata. “Hukuman dera di dunia lebih ringan daripada
hukuman neraka di akhirat nanti.” Ketika ia berusia
lebih dari 50 tahun, ketua negara ketika itu berada di
tangan Marwan bin Muhammad. Imam Hanafi juga menerima
ujian. Kemudian pada tahun 132 H sesudah dua tahun dari
hukuman tadi terjadilah pergantian pimpinan negara,
dari keturunan Umaiyyah ke tangan Abbasiyyah, ketua negaranya
bernama Abu Abbas as Saffah.
Pada
tahun 132 H sesudah Abu Abbas meninggal dunia diganti
dengan ketua negara yang baru bernama Abi Jaafar
Al-Mansur, saudara muda dari Abul Abbas as Saffah. Ketika itu
Imam Abu Hanifah telah berumur 56 tahun. Namanya masih tetap
harum sebagai ulama besar yang disegani. Ahli fikir
yang cepat dapat menyelesaikan sesuatu persoalan.
Suatu
hari Imam Hanafi mendapat panggilan dari baginda
Al-Mansur di Baghdad, supaya ia datang mengadap ke
istana. Sesampainya ia di istana Baghdad ia ditetapkan oleh baginda
menjadi kadi (hakim) kerajaan Baghdad. Dengan tawaran
tersebut, salah seorang pegawai negara bertanya:
“Adakah guru tetap akan menolak kedudukan baik itu?”
Dijawab oleh Imam Hanafi “Amirul mukminin lebih kuat
membayar kifarat sumpahnya daripada saya membayar
sumpah saya.”
Kerana ia
masih tetap menolak, maka diperintahkan kepada
pengawal untuk menangkapnya, kemudian dimasukkan ke dalam
penjara di Baghdad. Pada saat itu para ulama yang terkemuka di
Kufah ada tiga orang. Salah satu di antaranya ialah Imam Ibnu
Abi Laila. Ulama ini sejak pemerintahan Abu Abbas as
Saffah telah menjadi mufti kerajaan untuk kota Kufah.
Kerana sikap Imam Hanafi itu, Imam Abi Laila pun
dilarang memberi fatwa.
Pada
suatu hari Imam Hanafi dikeluarkan dari penjara kerana mendapat
panggilan dari Al-Mansur, tetapi ia tetap menolak. Baginda
bertanya, “Apakah engkau telah suka dalam keadaan
seperti ini?”
Dijawab oleh Imam Hanafi: “Wahai Amirul Mukminin semoga Allah memperbaiki Amirul Mukminin.
Wahai Amirul Mukminin, takutlah kepada Allah, janganlah bersekutu
dalam kepercayaan dengan orang yang tidak takut kepada
Allah. Demi Allah saya bukanlah orang yang boleh
dipercayai di waktu tenang, maka bagaimana saya akan
dipercayai di waktu marah, sungguh saya tidak
sepatutnya diberi jawatan itu.”
Baginda
berkata lagi: “Kamu berdusta, kamu patut dan sesuai memegang
jawatan itu.” Dijawab oleh Imam Hanafi: “Amirul Mukminin, sungguh
baginda telah menetapkan sendiri, jika saya benar, saya
telah menyatakan bahawa saya tidak patut memegang
jawatan itu. Jika saya berdusta, maka bagaimana baginda
akan mengangkat seorang maulana yang dipandang rendah
oleh bangsa Arab. Bangsa Arab tidak akan rela diadili
seorang golongan hakim seperti saya.”
Pernah
juga terjadi, baginda Abu Jaffar Al-Mansur memanggil
tiga orang ulama besar ke istananya, iaitu Imam Abu
Hanifah, Imam Sufyan ats Tauri dan Imam Syarik an Nakhaei. Setelah
mereka hadir di istana, maka ketiganya ditetapkan untuk
menduduki pangkat yang cukup tinggi dalam kenegaraan,
masing-masing diberi surat pelantikan tersebut.
Imam Sufyan ats Tauri diangkat menjadi kadi di Kota Basrah, lmam
Syarik diangkat menjadi kadi di ibu kota. Adapun Imam Hanafi
tidak mahu menerima pengangkatan itu di manapun ia
diletakkan. Pengangkatan itu disertai dengan ancaman
bahawa siapa saja yang tidak mahu menerima jawatan itu
akan didera sebanyak l00 kali deraan.
Imam
Syarik menerima jawatan itu, tetapi Imam Sufyan tidak
mahu menerimanya, kemudian ia melarikan diri ke Yaman.
Imam Abu Hanifah juga tidak mahu menerimanya dan tidak pula berusaha
melarikan diri.
Oleh
sebab itu Imam Abu Hanifah dimasukkan kembali ke dalam
penjara dan dijatuhi hukuman sebanyak 100 kali dera.
Setiap pagi dipukul dengan cambuk sementara dileher beliau
dikalung dengan rantai besi yang berat.
Suatu
kali Imam Hanafi dipanggil baginda untuk mengadapnya.
Setelah tiba di depan baginda, lalu diberinya segelas
air yang berisi racun. Ia dipaksa meminumnya. Setelah diminum
air yang beracun itu Imam Hanafi kembali dimasukkan ke dalam
penjara. Imam Hanafi wafat dalam keadaan menderita di
penjara ketika itu ia berusia 70 tahun.
Imam Hanafi menolak semua tawaran yang diberikan oleh
kerajaan daulah Umaiyyah dan Abbasiyah adalah kerana
beliau tidak sesuai dengan corak pemerintahan yang
mereka kendalikan. Oleh sebab itu mereka berusaha mengajak
Imam Hanafi untuk bekerjasama mengikut gerak langkah mereka, dan
akhirnya mereka seksa hingga meninggal, kerana Imam Hanafi
menolak semua tawaran yang mereka berikan.
Dipetik dari
http://www.blogger.com/blogger.g?blogID=3227979964114658341#editor/target=post;postID=6735321611364670833
0 comments:
Post a Comment