Pada zaman Rasulullah s.a.w terdapat seorang pemuda di negeri Yaman yang bernama Uwais al-Qarni. Beliau memeluk Islam apabila seruan dakwah sampai ke negeri Yaman. Uwais adalah seorang yatim yang sangat miskin. Beliau hanya memiliki dua helai pakaian sahaja. Beliau juga sangat merendah diri. Tidak ramai orang yang mengenalinya. Kehadirannya di dalam sesuatu majlis tidak dipeduli dan tidak akan dirasai oleh orang lain, sama seperti ketiadaanya. Malah beliau sering menjadi bahan ejekan, hinaan dan tertawa orang ramai.
Untuk menyara hidupnya, Uwais mengambil upah mengembala kambing. Upah yang diterimanya digunakan untuk keperluan beliau dan ibunya. Jika ada yang lebih, akan disedekahkan kepada jiran tetangganya. Beliau tinggal bersama ibunya yang telah tua, lumpuh dan buta. Uwais al-Qarni atau Uwais bin Amar adalah seorang yang sangat taat berbakti kepada ibu. Beliau sentiasa taat dan memenuhi permintaan ibunya. Setiap hari beliau akan menggendong ibunya yang buta ke mana sahaja beliau pergi. Tetapi semua cabran yang dilaluinya itu tidak pernah menghalang Uwais daripada melakukan ibadah wajib mahupun sunat kepada Allah
Seperti orang Islam yang lain, beliau sangat merindui untuk bertemu muka dengan Rasulullah s.a.w. Beliau sangat sedih dan cemburu melihat jiran-jirannya yang silih bertukar pergi mengunjungi Rasulullah di Madinah. Tetapi beliau terpaksa memendam keinginan dan rindunya itu kerana halangan kemiskinan dan ibunya yang memerlukan perhatian rapi darinya. Jarak antara kampungnya dengan Madinah lebih kurang 400 km. Diceritakan bahawa apabila peristiwa Nabi patah gigi dalam perang uhud sampai kepadanya, Uwais lalu memukul giginya dengan batu sehingga patah. Itu dilakukan kerana cintanya kepada Rasul dan keinginan berkongsi rasa sakit dengan Rasul s.a.w.
Setelah beberapa tahun, akhirnya Uwais meminta izin dari ibunya untuk menemui Rasul, lalu diizinkan. Ibunya berpesan: "“Pergilah wahai anakku! temuilah Nabi di rumahnya. Dan bila telah berjumpa, segeralah engkau kembali pulang”. Setelah mempersiapkan dirinya dan ibu yang akan ditinggalkan beliaupun berangkat ke Madinah. Malang, setibanya di rumah Rasul s.a.w, beliau diberitahu oleh Aisyah r.s. bahawa Rasulullah s.a.w. tiada di rumah kerana keluar ke medan perang. Mengenangkan jauh perjalanan dan masa telah dihabiskannya untuk datang, beliau ingin menungu kepulangan Rasulullah s.a.w tetapi keadaan dan pesanan ibunya membuatkan beliau terpaksa pulang.
Sekembalinya dari perang, Nabi s.a.w terus menanyakan tentang kedatangan orang yang mencarinya, lalu diberitahu oleh Aisyah tentang kedatangan Uwais. Nabi Muhammad s.a.w lalu menjelaskan bahawa itulah Uwais al-Qarni, anak yang sangat taat kepada ibunya. Ia adalah penghuni langit (sangat terkenal di langit). Perkataan Rasulullah s.a.w membuatkan sayyidatina ‘Aisyah r.a. dan para sahabatnya tertegun. Rasulullah s.a.w bersabda : “Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia (Uwais al-Qarni), perhatikanlah, ia mempunyai tanda putih di badannya.” Sesudah itu beliau s.a.w, memandang kepada sayyidina Ali k.w. dan sayyidina Umar r.a. dan bersabda : “Suatu ketika, apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi”.
Usair bin Jabir berkata:
Biasanya Umar al-Khaththab apabila datang pasukan (pejuang) bantuan daripada Yaman, dia akan bertanya kepada mereka sama ada dalam kalangan mereka terdapat seorang yang bernama Uwais bin ‘Amar (Uwais al-Qarni). Sehingga ke satu ketika beliau bertemu dengan Uwais bin ‘Amar.
Lalu beliau bertanya: “Andakah Uwais bin ‘Amar?”
Orang itu menjawab: “Ya.”
Umar bertanya lagi: “Daripada Murod, kemudian daripada Qarn?”
“Ya” jawab orang tersebut.
Umar bertanya lagi: “Apakah anda memiliki belang (di badan) lalu kamu sembuh kecuali satu bahagian sebesar duit sedirham?”
Orang itu menjawab: “Ya.”
Umar bertanya lagi: “Adakah anda memiliki ibu?”
Orang itu menjawab: “Ya.”.
Lantas Umar berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Akan datang kepada kalian Uwais bin ‘Amar bersama pasukan bantuan daripada Yaman. (Dia) daripada Murod, kemudian daripada Qarn. Dia dahulunya mengalami penyakit belang lalu telah sembuh daripadanya kecuali satu bahagian sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu yang dia selalu berbakti kepadanya. Seandainya dia bersumpah dengan nama Allah, nescaya Allah akan mengkabulkan sumpahnya itu. Jika kamu mampu memintanya memohon ampun untuk kamu, maka lakukanlah.”
Berkata Umar: “Mintakanlah ampun untuk aku.”
Maka Uwais meminta ampun untuk Umar.
Selepas peristiwa itu nama Uwais kembali hilang.
0 comments:
Post a Comment