PENGUMUMAN : DAPATKAN SEGERA.......buku NASIHAT KEPADA ANAK BERKENAAN IBU BAPA.......buku yang memperincikan tanggung jawab anak terhadap ibu bapa. Miliki segera untuk mendalami lagi tanggung jawab anda kepada ibu bapa anda. Juga supaya anak-anak anda memahami tanggung jawab mereka terhadap anda sebagai ibu bapa*****-------- DAPATKAN SEGERA....NOTA GEMILANG PENDIDIKAN ISLAM SPM....buku rujukan/nota Pendidikan Islam SPM yang sangat sesuai untuk calon-calon SPM*****Dapatkan juga MODUL GEMILANG PENDIDIKAN ISLAM TING 4 dan MODUL GEMILANG PENDIDIKAN ISLAM TING 5, buku kerja yang akan menjadikan PDPC anda lebih mudah, berkesan dan menarik......SELAMAT HARI RAYA IDIL FITRI 2017, MAAF ZAHIR DAN BATIN^^^^^^SEMUA GURU PEND ISLAM/B ARAB DIPELAWA MENYERTAI GROUP FACEBOOK DISKUSI GURU PENDIDIKAN ISLAM.....Hubungi saya di umat66@gmail.com.BLOG INI LEBIH SESUAI DILAYARI MENGGUNAKAN MOZILLA FIREFOX...MUNGKIN PAPARANNYA BERBEZA JIKA MENGGUNAKAN INTERNET EXPLORER

Pilihan Ibu Bapa Lebih Utama Dari Kekasih Hati

Wednesday, June 8, 2011

Petikan dari buku "Nasihat Kepada Anak Berkenaan Ibu Bapa"

Pada zaman dahulu pemilihan pasangan hidup banyak terletak di tangan ibu dan ayah, tetapi pada zaman serba moden ini, anak-anak lebih suka memilih sendiri pasangan hidup masing-masing. Ibu dan ayah lebih banyak mengikut sahaja kehendak anak-anak . Jika pilihan tersebut bertepatan dengan keinginan ibu dan ayah, maka ianya tidak akan menjadi masalah. Tetapi bagaimana pula jika pilihan itu tidak dipersetujui ibu dan ayah?

Di dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

لاَ نِكَاحَ اِلاَّ بِوَلِىٍّ

[Riwayat Ibnu Hibban]

Ertinya: Tidak ada nikah kecuali dengan wali.


Apa yang baginda maksudkan dengan hadis di atas ialah, sesuatu pernikahan adalah tidak sah tanpa wali. Wali terdekat bagi seseorang perempuan ialah bapa. Dengan itu seseorang anak perempuan yang ingin berkahwin mestilah mendapat restu dari bapanya. Hadis berikut memperkuatkan lagi maksud hadis di atas

اَيُّمَا امْرَاَةٍ نَكَحَتْ بِغَيْرِ اِذْنٍ مَوَالِيْهَا فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

[Riwayat Abu Daud dan Tirmizi]

Ertinya: Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal (baginda mengulanginya tiga kali).


Jika seseorang perempuan meminta kepada ayahnya supaya dikahwinkan dengan seseorang yang sekufu tetapi ayahnya ingin mengahwinkannya dengan lelaki lain yang juga sekufu, ayahnya berhak melarang anaknya itu berkahwin dengan lelaki pilihannya dan mengahwinkan anaknya itu dengan lelaki yang disukainya jika anak gadisnya itu masih dara. Itulah hak yang diberikan kepada bapa dan datuk sebelah bapa sebagai wali mujbir. Mereka berkuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan yang masih gadis tanpa meminta persetujuan terlebih dahulu, jika ianya menepati syarat-syarat yang ditetapkan syarak.


Jika dua hadis di atas merujuk kepada anak perempuan, maka hadis berikut merujuk kepada anak lelaki pula. Abdullah bin Umar r.a. berkata: Aku pernah memiliki seorang isteri yang sangat aku cintai, akan tetapi Umar (bin al-Khattab, yakni ayahnya) tidak menyukainya dan menyuruh aku menceraikannya. Namun aku enggan. Maka Umar membawa hal ini kepada Nabi s.a.w. dan menceritakan apa yang berlaku. Nabi s.a.w. menjawab (kepada Abdullah bin Umar):

“Ceraikanlah dia.”


Ibnu Hibban meriwayatkan: Ada seorang lelaki datang berjumpa Abu Darda’, lalu berkata: “Ayahku sentiasa menyuruhku berkahwin sehingga dia mengahwinkan aku. Sekarang dia menyuruhku menceraikannya.” Abu Darda’ berkata: “Aku tidak menyuruhmu derhaka kepada orang tuamu dan aku tidak menyuruhmu menceraikan isterimu. Namun, jika engkau mahu, aku akan ceritakan kepadamu apa yang ku dengar dari Rasulullah s.a.w. Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Ayah adalah pintu syurga, peliharalah pintu itu jika engkau mahu atau tinggalkanlah. Harapkanlah pahala.” Kemudian orang itu menceraikan isterinya.


Dalam sebuah kisah yang lain, Abu Darda’ r.a. berkata:

Bahawa seorang lelaki datang bertanya: “Sesungguhnya aku memiliki seorang isteri tetapi ibuku menyuruh daku menceraikannya.” Abu Darda menjawab: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, ibu bapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Terserah kepada kamu (seorang anak) sama ada untuk mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya.”

Mensia-siakan pintu itu bermaksud mengabaikan suruhan ibu bapanya, jika dia mengabaikan suruhan ibunya supaya menceraikan isterinya maka terlepaslah peluang untuknya memasuki syurga. Jika dia menurut suruhan tersebut, maka perbuatannya itu akan memelihara peluangnya untuk memasuki syurga Allah.

Muaz bin Jabal r.a. berkata:

أَوْصَانِي رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَشْرِ كَلِمَاتٍ, قَالَ:لاَ تُشْرِكْ بِاللهِ شَيْئًا وَإِنْ قُتِـلْتَ وَحُرِّقْتَ,وَلاَ تَعُقَّنَّ وَالِدَيْكَ,وَإِنْ أَمَرَاكَ أَنْ تَخْرُجَ مِنْ أَهْلِكَ وَمَالِكَ....

Ertinya: Rasulullah s.a.w. telah berpesan kepadaku dengan sepuluh pesanan: Janganlah menyekutukan sesuatupun dengan Allah meskipun engkau dibunuh atau dibakar, janganlah menderhaka kedua ibu bapamu walaupun keduanya menyuruhmu meninggalkan isterimu atau hartamu….

Hal yang sedemikian juga pernah berlaku ke atas Nabi Ismail a.s. Pada suatu hari Nabi Ibrahim tiba di Mekah lalu datang ke rumah anaknya Nabi Ismail. Kebetulan ketika itu Nabi Ismail tiada di rumah, kerana keluar berburu. Isteri Nabi Ismail tidak kenal bahawa orang tua itu adalah Nabi Ibrahim, ayah kepada suaminya. Apabila Nabi Ibrahim bertanya tentang keadaan mereka, isteri Nabi Ismail menjawab: “Kami berada dalam kesempitan dan kesulitan,” lalu dia mengadu tentang keadaannya yang buruk, ketiadaan makanan dan minuman serta keseorangan kepada Nabi Ibrahim.

Sebelum berlalu, Nabi Ibrahim berpesan kepadanya:

“Jika suamimu pulang, sampaikan salamku kepadanya dan katakan kepadanya agar dia mengubah alang pintunya.”

Setelah Nabi Ismail kembali ke rumah, beliau bertanya kepada isterinya: “Apakah ada seseorang datang kepadamu?”

Isterinya menjawab: “Ya, telah datang kepada kita seorang tua..” Lalu dia menerangkan gambaran orang tersebut.

Nabi Ismail bertanya lagi: “Adakah dia telah mewasiatkan sesuatu kepadamu?”

Isterinya menjawab: “Ya, dia telah menyuruhku menyampaikan salam kepadamu dan berpesan agar kamu mengubah alang pintumu.”

Nabi Ismail pun berkata: “Dia adalah ayahku. Sesungguhnya dia telah menyuruhku supaya menceraikanmu. Maka kembalilah kamu kepada keluargamu.”

Keutamaan ibu bapa juga mengatasi keutamaan anak bagi anak-anak. Kasih sayang anak-anak kepada anak sendiri kelak tidak sepatutnya mengatasi kebaktian kepada ibu dan ayah. Dahulukan ibu dan ayah dari anak kepada anak-anak. Biarkan ibu dan ayah makan sebelum anak bagi anak-anak makan. Penuhi keperluan ibu dan ayah sebelum memenuhi keperluan anak bagi anak-anak. Ajarlah anak anak-anak menghormati dan memuliakan ibu dan ayah sebagaimana anak-anak menghormati mereka di segi adab sopan, percakapan mahupun pergaulan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
 
 

Segala kandungan dalam blog ini adalah pendapat penulis. Jika ada yang salah, penulis pohon jutaan maaf, sentiasalah merujuk dan berpegang dengan pendapat yang lebih teguh dalilnya. Blog ini hanyalah sekadar perkongsian sesama insan daripada penulis yang lemah dan masih jahil