PENGUMUMAN : DAPATKAN SEGERA.......buku NASIHAT KEPADA ANAK BERKENAAN IBU BAPA.......buku yang memperincikan tanggung jawab anak terhadap ibu bapa. Miliki segera untuk mendalami lagi tanggung jawab anda kepada ibu bapa anda. Juga supaya anak-anak anda memahami tanggung jawab mereka terhadap anda sebagai ibu bapa*****-------- DAPATKAN SEGERA....NOTA GEMILANG PENDIDIKAN ISLAM SPM....buku rujukan/nota Pendidikan Islam SPM yang sangat sesuai untuk calon-calon SPM*****Dapatkan juga MODUL GEMILANG PENDIDIKAN ISLAM TING 4 dan MODUL GEMILANG PENDIDIKAN ISLAM TING 5, buku kerja yang akan menjadikan PDPC anda lebih mudah, berkesan dan menarik......SELAMAT HARI RAYA IDIL FITRI 2017, MAAF ZAHIR DAN BATIN^^^^^^SEMUA GURU PEND ISLAM/B ARAB DIPELAWA MENYERTAI GROUP FACEBOOK DISKUSI GURU PENDIDIKAN ISLAM.....Hubungi saya di umat66@gmail.com.BLOG INI LEBIH SESUAI DILAYARI MENGGUNAKAN MOZILLA FIREFOX...MUNGKIN PAPARANNYA BERBEZA JIKA MENGGUNAKAN INTERNET EXPLORER

Sayyidah Fatimah az-Zahra; Cinta Hati Rasulullah

Tuesday, May 24, 2011

Seorang sahabat mengingatkan saya mengenai tarikh 20 Jamadil Akhir, esok, iaitu hari lahir Sayyidah Fatimah az-Zahra. Anakanda Rasulullah. Seorang yang mempunyai tempat yang sangat mulia dalam sejarah Islam. Seorang wanita yang mempunyai kedudukan yang sangat istimewa dalam hati Rasulullah saw. Seorang wanita yang lahir dari zuriat Rasul, yang membesar di dalam lingkungan wahyu di sisi ayahanda tercinta. Wanita yang sepatutnya dekat di hati setiap mukmin dan menjadi idola serta teladan bagi setiap insan yang mengaku beriman.

Baginda dilahirkan pada pada hari jumaat 20 Jamadil Akhir di kota Mekah, 5 tahun selepas Nabi Muhammad diangkat sebagai Rasul. Tahun tersebut juga merupakan tahun berlakunya peristiwa israk dan mikraj. Beliau ialah Fatimah az-Zahra, puteri tercinta Rasulullah, isteri sy Ali bin Abi Talib dan bonda kepada cucunda Nabi, Hassan dan Hussain.

Fatimah membesar di atas ribaan Rasulullah saw di dalam rumah yang penuh dengan kalimah suci. Ummu Salamah ra, isteri Rasulullah, menyatakan bahawa Fatimah adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah. Demikian juga ‘Aisyah. Ia pernah menyatakan bahwa Fatimah adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah dalam ucapan dan pemikiran

Fatimah merupakan puteri yang sangat disayangi oleh Rasulullah. Acapkali apabila Fatimah memasuki rumah Rasulullah, Rasulullah terus berdiri untuk menyambutnya dan mencium kepala serta tangannya.

Pada suatu hari, ‘Aisyah bertanya kepada Rasulullah saw tentang sebab kecintaan beliau yang sedemikian besar kepada Fatimah as.

Beliau menegaskan, “Wahai ‘Aisyah, jika engkau tahu apa yang aku ketahui tentang Fatimah, niscaya engkau akan mencintainya sebagaimana aku mencintainya. Fatimah adalah darah dagingku. Ia tumpah darahku. Barang siapa yang membencinya, maka ia telah membenciku, dan barang siapa membahagiakannya, maka ia telah membahagiakanku.”

Fatimah as juga mencintai ayahandanya melebihi cintanya kepada siapa pun. Setelah ibundanya Khadijah as wafat, beliaulah yang merawat ayahnya ketika beliau masih berusia enam tahun. Beliau senantiasa berusaha untuk menggantikan peranan ibundanya bagi ayahnya itu.

Pada usianya yang masih belia itu, Fatimah menyertai ayahnya dalam berbagai cubaan dan ujian yang dilancarkan oleh orang-orang musyrikin Makkah terhadapnya. Dialah yang membalut luka-luka sang ayah dan yang membersihkan kotoran-kotoran yang dilemparkan oleh orang-orang Quraisy ke arah ayahanda tercinta.

Fatimah senantiasa berbicara dengan kata-kata yang dapat menggembirakan dan menyenangkan hati sang ayah. Kerana itu, Rasulullah saw memanggilnya dengan julukan Ummu Abiha, iaitu ibu bagi ayahnya, kerana kasih sayangnya yang sedemikian rupa yang dicurahkan kepada ayahandanya, Rasulullah saw.

Setelah Fatimah as mencapai usia dewasa beberapa orang sahabat telah masuk meminangnya. Di antara mereka adalah Abu Bakar dan Umar. Rasulullah saw menolak semua pinangan mereka dengan mengatakan; “Saya menunggu keputusan wahyu dalam urusannya (Fatimah as).”

Kemudian, Jibril as datang untuk mengkhabarkan kepada Rasulullah saw, bahawa Allah telah menikahkan Fatimah dengan Ali bin Ali Talib as. Tak lama setelah itu, Ali as datang mengadap Rasulullah dengan perasaan malu menyelimuti wajahnya untuk meminang Fatimah as. Sang ayah pun menghampiri puteri tercintanya untuk meminta pendapatnya seraya menyatakan, “Wahai Fatimah, Ali bin Abi Thalib adalah orang yang telah kau kenali kekerabatan, keutamaan, dan keimanannya. Sesungguhnya aku telah memohonkan pada Tuhanku agar menjodohkan engkau dengan sebaik-baik mahkluk-Nya dan seorang pencinta sejati-Nya. Ia telah datang menyampaikan pinangannya atasmu, bagaimana pendapatmu atas pinangan ini?”

Fatimah as diam, lalu Rasulullah pun mengangkat suaranya seraya bertakbir, “Allahu Akbar! Diamnya adalah tanda kerelaannya.”

Kemudian, Nabi saw menuntun Ali dan mendudukkannya di samping Fatimah. Beliau berdoa, “Ya Allah, sesungguhnya keduanya adalah makhluk-Mu yang paling aku cintai, maka cintailah keduanya, berkahilah keturunannya dan peliharalah keduanya. Sesungguhnya aku menjaga mereka berdua dan keturunannya dari syaitan yang terkutuk.”

Rasulullah mencium keduanya sebagai tanda ucapan selamat berbahagia. Kepada Ali, beliau berkata, “Wahai Ali, sebaik-baik isteri adalah isterimu.”

Dan kepada Fatimah, beliau menyatakan, “Wahai Fatimah, sebaik-baik suami adalah suamimu”.

Atas nasihat Rasul, Ali telah menjual perisainya. Wang itu diserahkan kepada Rasulullah saw. Dari wang itulah dijadikan mahar dan digunakan untuk membeli sedikit keperluan. Kehidupan mereka sangat bersahaja. Rumah mereka hanya memiliki satu kamar, letaknya di samping masjid Nabi saw.

Fatimah as sentiasa mendukung perjuangan Ali as dan pembelaannya terhadap Islam Suaminya sentiasa berada di barisan utama dan terdepan dalam setiap peperangan. Dialah yang membawa panji-panji kaum muslimin.

Fatimah as sentiasa berusaha untuk berkhidmat dan membantu suami, meringankan kepedihan dan kesedihannya. Beliau adalah sebaik-baik isteri yang taat. Beliau bangkit untuk memikul tugas-tugas yg selayaknya sebagai seorang suri rumah tangga. Setiap kali Ali pulang ke rumah, ia mendapat ketenangan, ketenteraman dan kebahagiaan di sisi sang isteri tercinta.

Fatimah as merupakan pokok yang baik, yang akarnya menghujam kukuh ke bumi, dan cabangnya menjulang tinggi ke langit. Fatimah dibesarkan dengan cahaya wahyu dan beranjak dewasa dengan didikan Al-Qur’an.

Kehidupan Ali dan Fatimah merupakan contoh dan teladan bagi kehidupan suami isteri yang bahagia. Ali sentiasa membantu Fatimah dalam pekerjaan-pekerjaan rumah tangganya. Begitu pula sebaliknya, Fatimah selalu berusaha sedaya upaya untuk mencari keridhaan dan kerelaan Ali, serta sentiasa memberikan rasa gembira kepada suaminya.

Perbicaraan mereka penuh dengan adab dan sopan santun. “Ya binta Rasulillah”; wahai puteri Rasul, adalah panggilan yang biasa digunakan Sayyidina Ali setiap kali ia menyapa Fatimah. Sementara Sayidatina Fatimah menyapanya dengan panggilan “Ya Amirul Mukminin”; wahai pemimpin kaum mukmin.

Daripada merekalah lahirnya Hassan dan Hussain yang merupakan buah hati Rasulullah saw di dunia. Bila keluar, Baginda selalu membawa mereka bersamanya. Baginda juga selalu mendudukkan mereka berdua di ribaannya dengan penuh kasih sayang. Suatu hari Rasul saw lalu di hadapan rumah Fatimah as. Tiba-tiba beliau mendengar tangisan Husain. Kemudian Nabi dengan hati yang pilu dan sedih mengatakan, “Tidakkah kalian tahu bahawa tangisnya menyedihkanku dan menyakiti hatiku.”

Meskipun kehidupan beliau sangat singkat, tetapi beliau telah membawa kebaikan dan berkah bagi alam semesta. Beliau adalah ikutan dan cerminan bagi segenap kaum wanita. Beliau adalah pemudi teladan, isteri tauladan dan ikutan yang sempurna bagi seorang wanita. Dengan keutamaan dan kesempurnaan yang dimiliki ini, beliau dikenal sebagai “Sayyidatu Nisa’il Alamin”; yakni Penghulu Wanita Alam Semesta.

Di kala masih gadis, ia senantiasa menyertai sang ayah dan ikut serta merasakan kepedihannya. Pada saat menjadi isteri Ali as, beliau selalu merawat dan melayani suaminya, serta menyelesaikan segala urusan rumah tangganya, hingga suaminya merasa tenteram bahagia di sampingnya.

Demikian pula ketika beliau menjadi seorang ibu. Beliau mendidik anak-anaknya dengan sepenuh hati atas dasar cinta, kebaikan, keutamaan, dan akhlak yang luhur lagi mulia. Hassan, Hussain dan Zainab as adalah anak-anak teladan yang tinggi akhlak dan kemanusiaan mereka.

Ketika Rasulullah jatuh sakit, Fatimah as bergegas menghampiri beliau dan berusaha untuk memulihkan keadaannya. Dengan air mata yang luruh berderai, Fatimah berharap agar maut memilih dirinya dan merenggut nyawanya sebagai tebusan jiwa ayahandanya. Tidak lama kemudian Rasul saw membuka kedua matanya dan mulai memandang puterinya itu. Lantas beliau meminta kepadanya supaya membacakan ayat-ayat suci Al-Qur’an. Fatimah pun segera membacakan Al-Qur’an dengan suara yang khusyuk.

Sementara sang ayah hayut dalam kekhusyukan mendengarkan kalimat-kalimat suci Al-Qur’an, Fatimah memenuhi suasana rumah Nabi dengan tilawahnya. Baginda ingin menghabiskan detik-detik akhir hayatnya dalam keadaan mendengar suara puterinya yang telah menjaganya dari usia yang masih kecil dan berada di samping ayahnya di saat dewasa.

Kewafatan Rasul saw merupakan musibah yang sangat besar bagi Fatimah, sampai hatinya tidak kuasa memikul besarnya beban musibah tersebut. Siang dan malam, beliau selalu menangis. Belum lagi selesai musibah itu, Fatimah as mendapat pukulan yang lebih berat lagi dari mereka yang berebut kekuasaan dan kedudukan. Fatimah Az-Zahra’ as berusaha untuk mempertahankan haknya dan hak suaminya dengan keberanian yang luar biasa.

Melihatkan keadaan itu dan ancaman yang besar terhadap Islam, Imam Ali telah meminta isterinya yang mulia untuk menahan diri dan bersabar demi menjaga risalah Islam yang suci.

Akhirnya, Sayidah Fatimah as pun berdiam diri dengan menyimpan kemarahan dan mengingatkan kaum muslimin akan sabda Nabi, “Kemarahannya adalah kemarahan Rasulullah, dan kemarahan Rasulullah adalah kemarahan Allah SWT.”

Sayidah Fatimah as diam dan bersabar diri hingga beliau wafat. Bahkan beliau berwasiat agar dikuburkan di tengah malam secara rahsia.

Dikatakan Fatimah wafat ketika berusia 18 tahun. Beliau meninggalkan Hasan yang masih 7 tahun, Husain yang masih 6 tahun, Zainab yang masih 5 tahun, dan Ummi Kultsum yang baru saja memasuki usia 3 tahun.

Yang paling berat dalam perpisahan ini, ia harus meninggalkan suami termulia, Ali as, pelindung ayahnya dalam jihad dan teman hidupnya di segala medan.

Sayidah Fatimah as memejamkan mata untuk selamanya setelah berwasiatkan kepada suaminya akan anak-anaknya yang masih kecil. Beliau pun mewasiatkan kepada sang suami agar menguburkannya secara rahasia. Hingga sekarang pun makam suci beliau masih misteri. Dengan penuh kesedihan, Imam Ali as duduk di samping kuburannya, diiringi kegelapan yang menyelimuti angkasa. Kemudian Imam as mengucapkan salam, “Salam sejahtera bagimu duhai Rasulullah … dariku dan dari puterimu yang kini berada di sampingmu dan yang paling cepat datang menjumpaimu.

“Duhai Rasulullah! Telah berkurang kesabaranku atas kepergian puterimu, dan telah berkurang pula kekuatanku … Puterimu akan mengkhabarkan kepadamu keadaan umatmu yang telah menghancurkan hidupnya. Pertanyaan yang meliputinya dan keadaan yang akan menjawab. Salam sejahtera untuk kalian berdua!”

2 comments:

Yas Sara said...

Subhanallah...!

Radhiallahuanhum.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
 
 

Segala kandungan dalam blog ini adalah pendapat penulis. Jika ada yang salah, penulis pohon jutaan maaf, sentiasalah merujuk dan berpegang dengan pendapat yang lebih teguh dalilnya. Blog ini hanyalah sekadar perkongsian sesama insan daripada penulis yang lemah dan masih jahil