Sejarah merakamkan pelbagai peristiwa kejam seperti peperangan, penyeksaan dan penderaan yang membawa kepada pembunuhan. Kekejaman dan penyeksaan akan diberhentikan apabila musuh telah meninggal dunia. Dan kebiasaannya musuh yang telah meninggal akan diuruskan jenazahnya seperti orang lain juga walau bagaimana sekalipun permusuhan dan kebencian ketika dia hidup. Namun dalam sejarah ada beberapa peristiwa yang boleh dianggap sebagai kezaliman yang sangat besar terhadap jenazah umat Islam;
1. Hamzah bin Abdul Muttalib
Hamzah terbunuh dek lontaran lembing oleh Wahsyi bin Harb, hamba kepada Jubair bin Mut'im yang tepat mengenai menembusi bahagian bawah pusat badan Hamzah. Lontaran itu menyebabkan syahidnya Hamzah di medan Uhud.
Hindun bt Uthbah, isteri Abu Sufyan bin Harb bersama 17 lagi perempuan Quraisy telah telah datang melihat mayat-mayat tentera Islam yang bergelimpangan. Beliau tahu Hamzah telah terkorban. Setelah menemui mayat Hamzah, beliau telah memotong kedua cuping telinga, bibir mulut dan kemudiannya membelah perut Hamzah. Dikeluarkan hatinya lalu dimakan. Tetapi beliau tidak dapat menelannya dan termuntah. Keadaan mayat Hamzah yang begitu ngeri benar-benar membuatkan Nabi sedih dan melarang Safiyah, saudara Hamzah dari melihatnya.
2. Husain bin Ali bin Abi Talib (Cucunda Rasulullah saw)
Dalam tragedi Karbala, setelah terbunuh oleh panahan oleh Umar Atthohawi dari Bani Tamim, libasan pedang Zur’ah bin Syarik Attamimi dan tetakan Sinan bin Anas, dengan rakus dan buas sekali lagi Sinan menghayunkan pedangnya menebas batang leher Husain r.a. yang sudah terlungkup di bumi. Setelah itu dipungutnya kepala yang sudah terpisah dari badan tersebut dan diserahkan kepada salah seorang temannya, Khauli bin Yazid Al-usbuhi.
Kepala itu kemudiannya diserahkan ketuanya Umar bin Saad. Bersama kepala Husain terdapat 71 lagi kepala keluarga dan pengikut Husain. Kepala-kepala itu kemudiannya dibawa ke hadapan Ibnu Ziyad (gabenor Kufah) di Kufah dan diarak dengan diletakkan di hujung tombak bersama-sama para tawanan oleh tentera Ibnu Ziyad sehingga sampai ke hadapan Yazid bin Muawiyah di Damsyik. Sepanjang perjalanan itu kepala Husain ra dipukul dan dicerca.
3. Abdullah bin az-Zubair (Cucunda saidina Abu Bakar as-Siddiq)
Setelah berjaya membunuh Abdullah bin az-Zubair bin al-Awwam, anak kepada Asma bt Abu Bakar, Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi panglima perang bagi kerajaan Bani Umayyah di masa Khalifah Abdul Malik bin Marwan telah menyalib mayatnya pada sebuah batu yang tinggi untuk tatapan orang ramai. Ada yang menyatakan penyaliban itu berjalan selama satu tahun sehingga gugurlah daging-daging dari tulang-tulangnya dan ada yang menjadi debu ditiup angin.
Berbagai hinaan, tuduhan dan fitnah dilemparkan kepada mayat tersebut supaya orang ramai membencinya. Hajjaj bersumpah tidak akan menurunkan mayat Abdullah sehingga ibunya Asma datang merayu kepadanya. Asma tetap enggan malah berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda (maksudnya) akan muncul dua lelaki dari thaqif, seorang pendusta dan seorang pembinasa. Yg pertama telah kita ketahui iaitu nabi palsu dan yg kedua ialah engkau wahai Hajaj." Setiap hari ibunya yang telah tua, berusia 100 tahun melalui di bawah mayat tersebut. Suatu hari beliau berkata: Belum sampaikah masa untuk orang ini diturunkan. Hajjaj menganggap kata-kata sebagai permohonan lalu menurunkan mayat Abdullah az-Zubair.
Asma memandikan sendiri mayat putera beliau, kemudian disembahyangkannya lalu diikuti oleh orang ramai..
Mungkin jenazah yang buang kat laut merupakan yang keempat yang boleh dimasukkan ke dalam kategori ini. Kerana walaupun beliau dibunuh di daratan tetapi jasadnya dibawa dan di'buang' di tengah lautan. Sedangkan mayat orang lain yang terbunuh di dasar lautan sekalipun dicari dan dibawa pulang untuk dikebumikan di daratan. Seolah-olah tidak ada bumi yang layak untuk beliau....Dan mayatnya juga tidak ditunjukkan kerana dikatakan terlalu ngeri...walau apa salahnya sekalipun beliau berhak untuk dikebumikan seperti umat Islam yang lain..
Wallahu a'lam..
0 comments:
Post a Comment