Assalamualaikum wbt kepada semua. Hari ini kita berada pada hari pertama 2011 masihi. Tepat jam 12 malam tadi, maka berakhirlah 2010. Begitulah putaran masa yang terus bergerak.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana kita masih lagi berkesempatan untuk berada pada tahun ini. Berapa ramai orang yang diambil nyawanya sepanjang 2010. Tetapi kita masih lagi diberi peluang oleh Yang empunya roh dan jasad kita untuk terus menjalani hidup sampai saat ini. Berapa ramai orang yang jatuh sakit sepanjang 2010 tetapi kita masih dianugerahi kesihatan yang agak baik oleh Yang Maha menyembuh dan mendatangkan penyakit.
Betapa banyak nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kita walaupun kita tidak pernah menghitungnya. Berapa banyak jantung kita berdenyut sepanjang 2010? Berapa banyak darah menggerakkan oksigen di dalam badan kita? Berapa banyak saraf menghantar maklumat ke otak kita? Berapa banyak perkara yang difikirkan oleh otak kita? berapa banyak halkum menolak makan supaya sampai ke perut? Berapa banyak perut kita memproses makanan? Berapa banyak pula yang dikeluarkan semula oleh badan kita sebagai najis besar atau najis kecil, ataupun sebagai peluh? Hati, limpa, buah pinggang, usus, saluran darah dan semua yang ada di dalam badan kita telah berfungsi dengan baik sepanjang 2010. Bagaimana kalau salah satu daripadanya bermasalah? Tentu kita akan menderita. Adakah kesemua perkara tersebut bekerja dan berfungsi dengan sendiri? Atau adakah kita yang mengawal semua organ di dalam badan kita itu? Tidak. Jika ianya berlaku secara otomatik, tentu sangat sukar bagi jantung untuk berdenyut sebanyak lebih kurang 100000 kali dalam masa 24 jam tanpa sebarang kesilapan. Jika kita pula yang mengawal kesemua organ dalaman kita, bagaimana ia terus berfungsi dengan baik ketika kita tidur? Tentu tidak ada orang sakit dan mati, jika semua organ itu dikawal sendiri oleh tuannya.
Yang mengawal kesemua itu hanyalah Allah. Semuanya bekerja dengan kehendak, ketetapan, keizinan dan rahmat Allah. Kita berpendapat oksigen dibawa oleh darah, darah dipam oleh denyutan jantung. Tetapi apakah pula yang membuatkan jantung berdenyut? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan Allahlah membuatkan jantung menguncup dan mengembang. Itu baru segelintir kurniaan Allah kepada kita.
Jika kita renung pula keperluan hidup kita, berapa banyak udara yang kita sedut, berapa banyak makanan yang kita makan, berapa banyak air yang kita minum dan berapa banyak cahaya yang kita guna sepanjang 2010? Dari mana datangnya udara, beras, air dan cahaya? Bolehkah kita mencipta kesemua itu? Tentulah tidak. Manusia tidak dapat mencipta walau sebutir biji beras. Begitu dengan udara, cahaya dan air.
Ini semua bertepatan sekali dengan firman Allah yang bermaksud;
"dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya"
[Surah Ibrahim, ayat 34 dan surah an-Nahl ayat 18]
Kerana itu menjelang tahun baru 2011, marilah kita sama-sama berazam untuk meningkatkan kesyukuran kepada Allah yang telah melimpahkan kita dengan nikmat yang tidak terkira banyaknya. Sekaligus meningkatkan lagi ketakwaan kita kepadanya. Marilah kita berusaha dengan sepenuh hati untuk melaksanakan segala perintahNya dan menjauhkan diri dari segala laranganNya. Perbanyakkan doa semoga kita diberi kekuatan untuk menjadi hambaNya yang soleh.
Manfaatkanlah masa yang ada. Berwaspadalah kerana kita belum pasti akan bertemu dengan 2012. Mungkin 2011 merupakan tahun perpindahan kita ke alam barzakh.
Wallahu a'lam.
Total Pageviews
Pandangan/Komen/Apa Saja
RENUNGAN HARI INI
Janganlah kita suka menangguhkan kerja. Kerja hari ini, kita buat hari ini. Jangan tunggu besok.
kata Ibnu Umar; "Apabila kamu berada pada waktu petang, janganlah menunggu pagi. Apabila kamu berada pada waktu pagi, janganlah menunggu waktu petang..."
kata Ibnu Umar; "Apabila kamu berada pada waktu petang, janganlah menunggu pagi. Apabila kamu berada pada waktu pagi, janganlah menunggu waktu petang..."
Rujukan
Selamat tahun baru 2011
Saturday, January 1, 2011Posted by umat66 at 9:49:00 AM
Labels: Isu Semasa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment