PENGUMUMAN : DAPATKAN SEGERA.......buku NASIHAT KEPADA ANAK BERKENAAN IBU BAPA.......buku yang memperincikan tanggung jawab anak terhadap ibu bapa. Miliki segera untuk mendalami lagi tanggung jawab anda kepada ibu bapa anda. Juga supaya anak-anak anda memahami tanggung jawab mereka terhadap anda sebagai ibu bapa*****-------- DAPATKAN SEGERA....NOTA GEMILANG PENDIDIKAN ISLAM SPM....buku rujukan/nota Pendidikan Islam SPM yang sangat sesuai untuk calon-calon SPM*****Dapatkan juga MODUL GEMILANG PENDIDIKAN ISLAM TING 4 dan MODUL GEMILANG PENDIDIKAN ISLAM TING 5, buku kerja yang akan menjadikan PnP anda lebih mudah, berkesan dan menarik......SELAMAT TAHUN BARU 2017, SEMOGA HARI INI LEBIH BAIK DARI SEMALAM DAN ESOK LEBIH BAIK DARI HARI INI^^^^^^SEMUA GURU PEND ISLAM/B ARAB DIPELAWA MENYERTAI GROUP FACEBOOK DISKUSI GURU PENDIDIKAN ISLAM.....Hubungi saya di umat66@gmail.com.BLOG INI LEBIH SESUAI DILAYARI MENGGUNAKAN MOZILLA FIREFOX...MUNGKIN PAPARANNYA BERBEZA JIKA MENGGUNAKAN INTERNET EXPLORER

GURINDAM DUA BELAS ~ Raja Ali Haji

Monday, February 25, 2013

Fasal 1
barang siapa tiada memegang agama
sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama


barang siapa mengenal yang empat
maka yaitulah orang yang makrifat

 

barang siapa mengenal Allah
suruh dan tegahnya tiada ia menyalah

 

barang siapa mengenal diri
maka telah mengenal akan tuhan yang bahri

 

barang siapa mengenal dunia
tahulah ia barang yang terperdaya

 

barang siapa mengenal akhirat
tahulah ia dunia mudharat


Fasal 2

barang siapa mengenal yang tersebut
tahulah ia makna takut

 

barang siapa meninggalkan sembahyang
seperti rumah tiada bertiang

 

barang siapa meninggalkan puasa
tidaklah mendapat dua termasa

 

barang siapa meninggalkan zakat
tiada hartanya beroleh berkat

 

barang siapa meninggalkan haji
tiadalah ia menyempurnakan janji


Fasal 3

apabila terpelihara mata
sedikitlah cita-cita

 

apabila terpelihara kuping
khabar yang jahat tiadalah damping

 

apabila terpelihara lidah
niscaya dapat daripadanya faedah

 

bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan
daripada segala berat dan ringan

 

apabila perut terlalu penuh
keluarlah fi’il yang tiada senonoh

 

anggota tengah hendaklah ingat
di situlah banyak orang yang hilang semangat

 

hendaklah peliharakan kaki
daripada berjalan yang membawa rugi


Fasal 4

hati itu kerajaan di dalam tubuh
jikalau zalim segala anggota pun rubuh

 

apabila dengki sudah bertanah
datang daripadanya beberapa anak panah

 

mengumpat dan memuji hendaklah pikir
di situlah banyak orang yang tergelincir

 

pekerjaan marah jangan dibela
nanti hilang akal di kepala

 

jika sedikit pun berbuat bohong
boleh diumpamakan mulutnya itu pekung

 

tanda orang yang amat celaka
aib dirinya tiada ia sangka

 

bakhil jangan diberi singgah
itulah perompak yang amat gagah

 

barang siapa yang sudah besar
janganlah kelakuannya membuat kasar

 

barang siapa perkataan kotor
mulutnya itu umpama ketor

 

di manatah tahu salah diri
jika tiada orang lain yang berperi

 

pekerjaan takbur jangan direpih
sebelum mati didapat juga sepih


Fasal 5

jika hendak mengenal orang berbangsa
lihat kepada budi dan bahasa

 

jika hendak mengenal orang yang berbahagia
sangat memeliharakan yang sia-sia

 

jika hendak mengenal orang mulia
lihatlah kepada kelakuan dia

 

jika hendak mengenal orang yang berilmu
bertanya dan belajar tiadalah jemu

 

jika hendak mengenal orang yang berakal
di dalam dunia mengambil bekal

 

jika hendak mengenal orang yang baik perangai
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai


Fasal 6

cahari olehmu akan sahabat
yang boleh dijadikan obat

 

cahari olehmu akan guru
yang boleh tahukan tiap seteru

 

cahari olehmu akan isteri
yang boleh menyerahkan diri

 

cahari olehmu akan kawan
pilih segala orang yang setiawan

 

cahari olehmu akan abdi
yang ada baik sedikit budi


Fasal 7

apabila banyak berkata-kata
di situlah jalan masuk dusta

 

apabila banyak berlebih-lebihan suka
itulah tanda hampirkan duka

 

apabila kita kurang siasat
itulah tanda pekerjaan hendak sesat

 

apabila anak tidak dilatih
jika besar bapanya letih

 

apabila banyak mencacat orang
itulah tanda dirinya kurang

 

apabila orang yang banyak tidur
sia-sia sahajalah umur

 

apabila mendengar akan khabar
menerimanya itu hendaklah sabar

 

apabila mendengar akan aduan
membicarakannya itu hendaklah cemburuan

 

apabila perkataan yang lemah lembut
lekaslah segala orang mengikut

 

apabila perkataan yang amat kasar
lekaslah orang sekalian gusar

 

apabila pekerjaan yang amat benar
tiada boleh orang berbuat honar


Fasal 8

barang siapa khianat akan dirinya
apalagi kepada lainnya

 

kepada dirinya ia aniaya
orang itu jangan engkau percaya

 

lidah suka membenarkan dirinya
daripada yang lain dapat kesalahannya

 

daripada memuji diri hendaklah sabar
biar daripada orang datangnya khabar

 

orang yang suka menampakkan jasa
setengah daripada syirik mengaku kuasa

 

kejahatan diri sembunyikan
kebajikan diri diamkan

 

keaiban orang jangan dibuka
keaiban diri hendaklah sangka


Fasal 9

tahu pekerjaan tak baik tapi dikerjakan
bukannya manusia ia itulah syaitan

 

kejahatan seorang perempaun tua
itulah iblis punya penggawa

 

kepada segala hamba-hamba raja
di situlah syaitan tempatnya manja

 

kebanyakan orang yang muda-muda
di situlah syaitan tempat bergoda

 

perkumpulan laki-laki dengan perempuan
di situlah syaitan punya jamuan

 

adapun orang tua yang hemat
syaitan tak suka membuat sahabat

 

jika orang muda kuat berguru
dengan syaitan jadi berseteru


Fasal 10

dengan bapa jangan durhaka
supaya Allah tidak murka

 

dengan ibu hendaklah hormat
supaya badan dapat selamat

 

dengan anak janganlah lalai
supaya boleh naik ke tengah balai

 

dengan isteri dan gundik janganlah alpa
supaya kemaluan jangan menerpa

 

dengan kawan hendaklah adil
supaya tangannya jadi kapil


Fasal 11

hendaklah berjasa
kepada yang sebangsa

 

hendaklah jadi kepala
buang perangai yang cela

 

hendak memegang amanat
buanglah khianat

 

hendak marah
dahulukan hujjah

 

hendak dimalui
jangan memalui

 

hendak ramai
murahkan perangai


Fasal 12

raja mufakat dengan menteri
seperti kebun berpagar duri

 

betul hati kepada raja
tanda jadi sebarang kerja

 

hukum adil atas rakyat
tanda raja beroleh inayat

 

kasihkan orang yang berilmu
tanda rahmat atas dirimu

 

hormat akan orang yang pandai
tanda mengenal kasa dan cindai

 

ingatkan dirinya mati
itulah asal berbuat bakti

 

akhirat itu terlalu nyata
kepada hati yang tidak buta

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
 
 

Segala kandungan dalam blog ini adalah pendapat penulis. Jika ada yang salah, penulis pohon jutaan maaf, sentiasalah merujuk dan berpegang dengan pendapat yang lebih teguh dalilnya. Blog ini hanyalah sekadar perkongsian sesama insan daripada penulis yang lemah dan masih jahil