Membesarkan anak-anak sememangnya sesuatu yang sangat mencabar bagi ibu bapa. Terutamanya anak yang berusia di antara satu hingga empat tahun. Kerenah anak-anak dalam usia itu amat susah untuk dikawal. Kata-kata dan arahan ibu bapa masih belum mereka faham dengan baik, mereka tidak suka berkongsi barang dengan adik beradik lain, mengganggu adik, buang air kecil dan besar sesuka hati, merosakkan barang-barang, suka minta di dukung atau dipimpin, suka meminta itu dan ini, suka berkelahi dan suka menangis. Bukan sekali dua perangai mereka begitu, tetapi berulang-ulang tanpa mengira waktu. Mereka tidak tahu dan tidak peduli ibu ayah mereka penat baru balik dari kerja, ibu bapa mereka mengantuk atau ibu bapa mereka sedang menghadapi masalah.
Biasanya ibu bapa akan sentiasa memenuhi permintaan dan melayan anak-anak dengan baik. Semua orang pasti sayangkan anaknya. Tetapi ada juga ketikanya ibu bapa gagal menahan rasa marah dan geram terhadap anaknya. Ibu bapa hilang sabar. Ketika itu nafsu ammarah dan iblis akan segera membakar kemarahan ibu bapa sehingga mendidih. Terbitlah tindakan yang tidak patut, mereka memukul anak dengan penuh geram, menggunakan apa saja alat yang tercapai dek tangan dan memaki hamun anak. Padahal anak mereka masih belum memahami apa-apa. Perkara ini memang lumrah yang biasa dilalui oleh ibu bapa.
Apabila 'sejuk' mereka akan menyesal dan sedih dengan tindakan sendiri. Sepatutnya ibu bapa tidak sesekali terpengaruh dengan rasa geram terhadap anak sendiri. Bimbing dan asuhlah mereka dengan penuh kasih sayang. Jika terpaksa memukul anak, pukullah dalam keadaan sedar, dengan niat mendidik mereka. Sesuaikanlah tindakan dengan usia mereka. Didiklah anak-anak dengan penuh kemesraan. Tunjukkanlah belas kasihan terhadap mereka
Pada suatu hari al-Aqra' bin Habas melihat Rasulullah saw mencium cucunya Hassan r.a, lalu ia berkata kepada Nabi saw: "Saya mempunyai 10 orang anak, tetapi tidak pernah saya mencium seorangpun dari mereka." Maka Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya orang yang tiada berbelas kasihan tidak akan dibelas kasihan."
Berkata Muawiyah kepada al-Ahnaf bin qais: "Apa yang dapat engkau katakan tentang anak-anak?" Al-Ahnaf menjawab: "Wahai amirul mukminin, mereka itu buah hati kita dan tulang belakang kita, kita ini laksana bumi yang hina bagi mereka dan langit yang meneduhi kehidupan mereka. Kerana merekalah kita berhempas pulas dengan setiap jerih perit. Oleh itu, kiranya mereka meminta sesuatu darimu, berikanlah kepada mereka. Kiranya mereka marah, segera pujuk mereka. Nescaya akan diberikan kepadamu kasih sayang mereka dan diredhai kamu segala usahanya. Jangan sesekali kamu menjadi kunci yang berat (penghalang) terhadap kemahuan mereka, nescaya mereka akan merasa jemu terhadap kamu seraya mencita-citakan kematian kamu dengan segera. kelak mereka akan merasa benci pula untuk mendekatkan diri mereka dengan kamu."
Selesai mendengar kata-kata itu, Muawiyah pun berkata pula: "Sungguh tepat sekali kata-katamu itu wahai Ahnaf. Sebenarnya engkau telah tunjukkan bagiku jalan bagaimana harus aku meredhai (memaafkan) sesiapa yang aku merasa marah dari kalangan anak-anakku."
Total Pageviews
Pandangan/Komen/Apa Saja
RENUNGAN HARI INI
Janganlah kita suka menangguhkan kerja. Kerja hari ini, kita buat hari ini. Jangan tunggu besok.
kata Ibnu Umar; "Apabila kamu berada pada waktu petang, janganlah menunggu pagi. Apabila kamu berada pada waktu pagi, janganlah menunggu waktu petang..."
kata Ibnu Umar; "Apabila kamu berada pada waktu petang, janganlah menunggu pagi. Apabila kamu berada pada waktu pagi, janganlah menunggu waktu petang..."
Rujukan
Jangan Dikuasai Rasa Geram Terhadap Anak
Wednesday, September 29, 2010Posted by umat66 at 10:45:00 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment