PENGUMUMAN : DAPATKAN SEGERA.......buku NASIHAT KEPADA ANAK BERKENAAN IBU BAPA.......buku yang memperincikan tanggung jawab anak terhadap ibu bapa. Miliki segera untuk mendalami lagi tanggung jawab anda kepada ibu bapa anda. Juga supaya anak-anak anda memahami tanggung jawab mereka terhadap anda sebagai ibu bapa*****-------- DAPATKAN SEGERA....NOTA GEMILANG PENDIDIKAN ISLAM SPM....buku rujukan/nota Pendidikan Islam SPM yang sangat sesuai untuk calon-calon SPM*****Dapatkan juga MODUL GEMILANG PENDIDIKAN ISLAM TING 4 dan MODUL GEMILANG PENDIDIKAN ISLAM TING 5, buku kerja yang akan menjadikan PDPC anda lebih mudah, berkesan dan menarik......SELAMAT HARI RAYA IDIL FITRI 2017, MAAF ZAHIR DAN BATIN^^^^^^SEMUA GURU PEND ISLAM/B ARAB DIPELAWA MENYERTAI GROUP FACEBOOK DISKUSI GURU PENDIDIKAN ISLAM.....Hubungi saya di umat66@gmail.com.BLOG INI LEBIH SESUAI DILAYARI MENGGUNAKAN MOZILLA FIREFOX...MUNGKIN PAPARANNYA BERBEZA JIKA MENGGUNAKAN INTERNET EXPLORER
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts

PRU13: SEDIKIT NASIHAT DALAM MEMILIH

Saturday, May 4, 2013

Assalamualaikum wbt
Esok 5 Mei 2013 rakyat Malaysia akan menghadapi PRU13. Saya bersetuju dengan pendapat yang mengatakan mengundi hukumnya adalah wajib. Melantik ketua adalah wajib dalam sesebuah negara. Kerana cara mengangkat pemimpin negara di Malaysia adalah melalui undi maka mengundi itu adalah wajib. Semua orang Islam mesti mengundi.


Jika umat Islam tidak keluar mengundi, bererti mereka telah menyerahkan hak menentukan pemimpin kepada orang lain. Dan pemimpin yang diangkat itu juga akan turut menjadi pemimpin yang akan menentukan corak pentadbiran ke atas umat Islam. Jadi jangan sesekali membiarkan orang lain menguasai kita. Jangan sesekali menganggap mengundi itu perkara yang kecil.

Kita selalu dipesan supaya berhati-hati dalam memilih kawan, kerana dibimbangi terpengaruh dengan kawan. Kawan boleh mempengaruhi, sebab itu kena hati-hati dalam memilihnya. Tapi kita kena ingat, pemimpin bukan setakat boleh mempengaruhi tetapi boleh memaksa. Pemimpin boleh membentuk suasana dan boleh menentukan banyak perkara ke atas rakyatnya. Kerana itu memilih pemimpin adalah lebih penting dari memilih kawan. Kawan, kalau teruk, kita boleh tinggalkan saja. Tapi pemimpin tidak boleh begitu, kerana kita berada di bawah kuasa mereka

Jadi di sini saya tegaskan, kita mesti keluar mengundi dan kita mesti memilih dengan betul. Jangan sambil lewa, jangan suka-suka dan jangan ikut-ikut saja dalam memilih. Kita kena fikir dan mempertimbangkan siapa yang akan kita pilih dengan serius. Sebagai muslim, sepatutnya pertimbangan kita tidak boleh lari neraca agama. Pandangan dan panduan agama mesti diambilkira. Ulama-ulama silam telah menggariskan ciri-ciri yang sepatutnya ada pada pemimpin umat Islam. Secara ringkasnya, antara ciri-ciri tersebut;


  • Beriman dan bertakwa kepada Allah
  • berusaha menjaga dan menegakkan syariat Allah
  • berakhlak mulia
  • Kuat rohani, mental dan jasmani
  • Amanah
  • Adil dan saksama 
  • bertanggung jawab
  • tidak sombong

Itulah antara perkara-perkara yang perlu dinilai sebelum kita memilih seseorang pemimpin. Realitinya memang mustahil untuk kita menemukan seorang pemimpin yang betul-betul sempurna. 100% betul. Setiap pilihan ada kekurangannya. Dalam keadaan tiada yang sempurna, kita hendaklah memilih mereka yang lebih baik dan lebih hampir kepada ciri-ciri tersebut. Dan keutamaan mestilah diberikan kepada perkara yang lebih utama. Contoh seorang yang bertakwa tetapi lemah dari segi amanah (sepatutnya tidak begini) lebih baik dari seorang yang tidak bertakwa tetapi lebih amanah.

Hati-hatilah dan ambil beratlah dalam memilih. Malah sangat wajar kalau kita merujuk perkara ini kepada orang yang lebih arif. Jangan hanya bergantung kepada cakap-cakap orang, propaganda, khabar angin dan andaian yang dibuat tanpa asas. Tersalah pilih, penyesalanlah yang akan terpaksa ditempuhi. Bukan saja penyesalan dunia, tetapi di akhirat juga kita akan menyesal. Undi kita hari ini tentu sekali akan berbangkit di akhirat, kerana setiap perbuatan walau sebesar zarah sekalipun akan diperiksa di hadapan Allah kelak. Ada beberapa ayat al-Quran yang menceritakan penyesalan salah pilih atau salah ikut pemimpin di akhirat kelak..malah ada beberapa pertengkaran antara orang yang dipimpin dengan pemimpin di neraka yang dirakamkan dalam al-Quran. Antaranya ayat 66-68 Surah al-Ahzab, yang bermaksud:

Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam Neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah (66) Dan mereka berkata lagi: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar.(67) Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!

Wallahu a'lam

PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI UMAT ISLAM DI BURMA

Friday, July 27, 2012


Melihat kepada berita semasa terutamanya dalam media sosial, umat Islam di Burma sedang disembelih secara beramai-ramai. Ada yang melaporkan hanya dalam masa beberapa minggu sahaja, lebih dari 50 ribu umat Rohingya dibunuh dengan kejam. Kampung-kampung mereka diserang, rumah-rumah dibakar. Masjid-masjid juga turut dibakar. Kaum perempuan, orang tua dan kanak-kanak tidak terkecuali. Mereka dibunuh lebih teruk dari binatang. Seolah-olah mereka nyawa mereka tidak mempunyai harga langsung.


Lebih malang, mereka tidak mendapat sedikitpun pembelaan. Sama ada dari pihak berkuasa Burma sendiri, yang seolah-olah merestui tindakan tersebut, malah turut mengambil bahagian. PBB, langsung tak bersuara. OIC, ASEAN atau negara-negara Islam semuanya seolah-olah tidak nampak dan tidak sedar apa yang berlaku. Malah berita mengenainya juga tidak mendapat tempat dalam media-media utama.

Kalaulah penindasan begini berlaku terhadap umat kristian sudah tentu mereka akan dibela malah mungkin akan diberi negara sendiri seperti yang terjadi di Sudan Selatan dan Timor Leste. Tetapi kerana mereka muslim maka terpaksalah mereka menanggungnya sendiri tanpa sebarang perhatian dan pembelaan. Skrip ini hampir sama dengan apa yang menimpa umat Islam di selatan Thai dan Filipina, di tempat mereka menjadi kaum minoriti.

Kepada umat muslim Burma, perkukuhkanlah keyakinan kalian kepada Allah. Harapan pertolongan dari saudara seagama masih sangat jauh kecuali sekadar doa dari para mustad'afin serata alam. Pertolongan dari kuasa-kuasa barat tentunya tidak akan datang dengan mudah. Kerana itu berharaplah kepada Allah semata-mata. Jika kalian gugur, itu juga adalah kemenangan..

SBPA batal sebelum sempat merasa

Friday, March 9, 2012



SBPA baru je diperkenalkan bagi kakitangan awam. Dalam bulan 12 kalau tak silap mereka ditawar supaya menandatangani opsyen baru tu. Ketika tu juga mereka ditunjuk gaji baru yang akan mereka dapat. Kira-kira, banyak juga ler dapat. Malah ada yang dah berkira-kira nak buat tambah loan.

Tapi malangnya ketika tu juga suara-suara tak setuju mula kedengaran terutamanya dari CUEPACS. Rata-rata kakitangan awam taklah tahu sangat pasal skim tu walaupun kebanyakan mereka setuju menerimanya. Kata Cuepacs ada le beberapa perkara yang nampak tak kena. Maka berbincanglah depa. banyaklah bincang, sampailah bulan 3.

Akhir sekali pada 8 Mac 2012, PM secara rasmi batalkan skim tersebut. Maka berbalik semula lah kepada SSM sebelum ni. Tapi sebagai gantinya, PM telah beri beberapa penambahbaikan yang kira-kira tak kalah juga berbanding SPBA yang tak jadi.

Antaranya ialah pelarasan gaji sebanyak 13% bagi gred 1 hingga 54. Cola naik RM50. 00 bagi kawasan B dan C. Di samping itu jadual gaji matrik pula diubah kepada jadual gaji minumun-maksimun. Yang ni kena tunggu keluar jadual gaji baru le baru jelas, cuma katanya kenaikan tahunan berada antara rm80.00 hingga rm320.00 mengikut gred.

Dan satu lagi yang penting ialah laluan kerjaya guru tetap berasaskan time based seperti yang diumum dalam bajet 2012. Ok lah tu, sebab baru-baru ni ada yang kata kenaikan DG44 ke 48 bukan lagi automatik tetapi kena ada temuduga. Kalau temuduga susah le sikit nak naik.

Apapun terima kasih kepada PM dan syukur kepada Allah. Moga-moga kita tetap bersemangat dalam kerjaya kita. Rezeki kena cari tapi sifat redha pun kena ada.

Selamat tahun baru 2011

Saturday, January 1, 2011

Assalamualaikum wbt kepada semua. Hari ini kita berada pada hari pertama 2011 masihi. Tepat jam 12 malam tadi, maka berakhirlah 2010. Begitulah putaran masa yang terus bergerak.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana kita masih lagi berkesempatan untuk berada pada tahun ini. Berapa ramai orang yang diambil nyawanya sepanjang 2010. Tetapi kita masih lagi diberi peluang oleh Yang empunya roh dan jasad kita untuk terus menjalani hidup sampai saat ini. Berapa ramai orang yang jatuh sakit sepanjang 2010 tetapi kita masih dianugerahi kesihatan yang agak baik oleh Yang Maha menyembuh dan mendatangkan penyakit.

Betapa banyak nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kita walaupun kita tidak pernah menghitungnya. Berapa banyak jantung kita berdenyut sepanjang 2010? Berapa banyak darah menggerakkan oksigen di dalam badan kita? Berapa banyak saraf menghantar maklumat ke otak kita? Berapa banyak perkara yang difikirkan oleh otak kita? berapa banyak halkum menolak makan supaya sampai ke perut? Berapa banyak perut kita memproses makanan? Berapa banyak pula yang dikeluarkan semula oleh badan kita sebagai najis besar atau najis kecil, ataupun sebagai peluh? Hati, limpa, buah pinggang, usus, saluran darah dan semua yang ada di dalam badan kita telah berfungsi dengan baik sepanjang 2010. Bagaimana kalau salah satu daripadanya bermasalah? Tentu kita akan menderita. Adakah kesemua perkara tersebut bekerja dan berfungsi dengan sendiri? Atau adakah kita yang mengawal semua organ di dalam badan kita itu? Tidak. Jika ianya berlaku secara otomatik, tentu sangat sukar bagi jantung untuk berdenyut sebanyak lebih kurang 100000 kali dalam masa 24 jam tanpa sebarang kesilapan. Jika kita pula yang mengawal kesemua organ dalaman kita, bagaimana ia terus berfungsi dengan baik ketika kita tidur? Tentu tidak ada orang sakit dan mati, jika semua organ itu dikawal sendiri oleh tuannya.

Yang mengawal kesemua itu hanyalah Allah. Semuanya bekerja dengan kehendak, ketetapan, keizinan dan rahmat Allah. Kita berpendapat oksigen dibawa oleh darah, darah dipam oleh denyutan jantung. Tetapi apakah pula yang membuatkan jantung berdenyut? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan Allahlah membuatkan jantung menguncup dan mengembang. Itu baru segelintir kurniaan Allah kepada kita.

Jika kita renung pula keperluan hidup kita, berapa banyak udara yang kita sedut, berapa banyak makanan yang kita makan, berapa banyak air yang kita minum dan berapa banyak cahaya yang kita guna sepanjang 2010? Dari mana datangnya udara, beras, air dan cahaya? Bolehkah kita mencipta kesemua itu? Tentulah tidak. Manusia tidak dapat mencipta walau sebutir biji beras. Begitu dengan udara, cahaya dan air.

Ini semua bertepatan sekali dengan firman Allah yang bermaksud;

"dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya"
[Surah Ibrahim, ayat 34 dan surah an-Nahl ayat 18]

Kerana itu menjelang tahun baru 2011, marilah kita sama-sama berazam untuk meningkatkan kesyukuran kepada Allah yang telah melimpahkan kita dengan nikmat yang tidak terkira banyaknya. Sekaligus meningkatkan lagi ketakwaan kita kepadanya. Marilah kita berusaha dengan sepenuh hati untuk melaksanakan segala perintahNya dan menjauhkan diri dari segala laranganNya. Perbanyakkan doa semoga kita diberi kekuatan untuk menjadi hambaNya yang soleh.

Manfaatkanlah masa yang ada. Berwaspadalah kerana kita belum pasti akan bertemu dengan 2012. Mungkin 2011 merupakan tahun perpindahan kita ke alam barzakh.
Wallahu a'lam.

Tahniah, keputusan PMR 2010

Thursday, December 23, 2010

Hari ini calon-calon PMR 2010 mendapat keputusan masing-masing. Pengumuman rasmi dilakukan sendiri oleh Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Abdul Ghafar Mahmud di Putrajaya.



Daripada 439,456 calon seluruh negara, 30,863 mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil. Meningkat seramai 2,675 berbanding tahun lepas. Gred Purata Kebangsaan juga meningkat dari 2.78 pada tahun lepas kepada 2.74 pada tahun ini. Bilangan pelajar yang mendapat E dalam semua mata pelajaran juga menurun dari 397 kepada 386 pada tahun ini. Kerana itu PMR 2010 sebagai terbaik dalam empat tahun terakhir ini.

Jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar juga semakin mengecil, yang mana pencapaian antara keduanya semakin mengecil di segi bilangan calon yang mendapat semua A.

Di sini saya mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang termasuk dalam kumpulan cemerlang terutamanya yang mendapat A dalam semua mata pelajaran. Tahniah juga kerana telah mengharumkan nama negeri dan sekolah masing-masing. Anda juga telah berjaya menggembirakan hati ibu bapa dan guru-guru anda.

Manakala bagi pelajar yang gagal cemerlang dan gagal, janganlah berputus asa. Janganlah terlalu bersedih seolah-olah semuanya telah berakhir. Anggaplah apa yang anda dapat itu sebagai pengajaran dan pengalaman berguna untuk anda bangkit dengan lebih bersemangat. Banyak lagi peluang ada di hadapan. Cuma anda perlu lebih gigih dan berusaha berbanding sebelum ini. Yakinlah kepada takdir dan esok masih ada bagi anda.

Kemalangan bas di Simpang Pulai

20 Disember 2010 - Sebuah bas yang membawa pelancong dari Thailand telah terbabas di Km15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai pukul 11.40 pagi. Bas dua tingkat tersebut dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands untuk ke Kuala Lumpur.


Siasatan awal mendapati bas tersebut hilang kawalan lalu merempuh tembok pembahagi jalan lalu terhumban ke dalam longkang di tepi jalan arah yang bertentangan. Punca sebenar nahas masih dalam siasatan.

Setakat ini dilaporkan 27 orang telah meninggal dunia termasuk dua rakyat tempatan. Rakyat tempatan tersebut merupakan pemandu bas dan pemandu pelancong. Selebihnya semua adalah rakyat Thailand. 22 daripadanya mati di tempat kejadian. Ini menjadikan kemalangan ini sebagai kemalangan jalan raya terburuk setakat ini.

Lokasi kejadian merupakan satu selekoh yang agak panjang. Selekoh begitu merupakan satu kebiasaan di tempat berbukit seperti Cameron dan Genting. Ianya sangat mencabar terutamanya bagi pemandu yang baru pertama kali sampai ke situ.

Seperti biasa, insiden ini juga telah menyebabkan lontaran-lontaran idea, kebanyakannya hanyalah hangat-hangat tahi ayam. Seperti pahat dengan tukul, sekali kemalangan sekali bercadangan. Malah ada antara idea tersebut merupakan ulangan kepada kepada apa yang telah dilakukan sebelum ini.

Pengasas Facebook dah jutawan, kita?

Wednesday, December 22, 2010

Terpampang di dada berita seminggu lepas cerita pengasas facebook dah jadi jutawan dengan anggaran harta bernilai USD1.5 bilion. Sebelum ni aku pun tak tahu siapa pengasas facebook. Aku guna saja, tanpa kenal siapa tuannya.

Mark Zuckerberg, muda lagi orangnya, 26 tahun. Katanya Facebook ni mula direkacipta sambil baring-baring dalam bilik tidur je. Dia buat untuk berhubung dengan kawan-kawannya, sebab masa tu dia masih belajar di universiti. Tapi lepas 5 tahun jadi laman sosial paling glemer yang digunakan secara aktif oleh 500 juta penduduk dunia. Huh..tengoklah berapa dia punya terer. Sebab itulah dia jadi jutawan termuda dunia. Dia juga dianugerahkan person of the year kerana hasil ideanya itu yang sangat berjaya mempengaruhi kehidupan manusia.

Kita pula dapat apa? Ada yang siang malam mengadap facebook, ada yang tidak senang duduk kalau tak masuk facebook dalam sehari dan ramai yang menghubungkan Facebook ke telefon bimbit supaya dapat dipantau 24 jam. Macam penagih..yang menagih facebook. Ada juga yang kita dapat. Kurang-kurang dapat lah jumpa kawan lama. Ataupun bagi yang berkelana tu dapatlah memantau perkembangan keluarga dan perkembangan di kampung melalui facebook.
Ada yang cuba beriklan, ada yang mencari pasangan dan ada yang meluah perasaan. Pendek kata semua boleh buat.

Untuk buat jahat pun macam-macam boleh. Maklumlah dunia maya yang tiada sempadan dan boleh sembunyi-sembunyi. Janganlah macam tu. Jadi terserah kepada empunya diri masing-masing. Apa niat dan apa nawaitu. Tanya saja hati.




Subjek sejarah wajib lulus SPM

Monday, December 6, 2010

Pengumuman ni dibuat oleh TPM sendiri selaku menteri pelajaran, kalau tak silap ketika menggulung perbahasan dalam perhimpunan agung UMNO baru-baru ini. Sebelum ni subjek sejarah merupakan salah satu subjek teras yang wajib dipelajari dan diambil dalam peperiksaan SPM oleh semua pelajar. Dengan pengumuman TPM itu bermakna subjek sejarah telah diangkat ke tahap yang lebih tinggi setaraf dengan subjek Bahasa Melayu.



Untuk lulus SPM bermula 2013, calon mesti lulus mata pelajaran sejarah. Jika gagal bermakna calon itu gagal dalam SPM mereka. Sama seperti subjek Bahasa Melayu sebelum ini.

Keputusan ini dibuat bagi mengatasi banyak masalah yang timbul akhir-akhir ini berpunca dari kurangnya pengetahuan mengenai sejarah tanah air. Akibatnya semangat patriotik generasi muda kelihatan semakin pudar, isu hubungan antara kaum, persoalan perlembagaan dan kontrak sosial serta gejala sosial yang semakin membimbangkan. Inisiatif yang diambil ini diharapkan dapat mengatasi semua perkara tersebut sekaligus mengukuhkan semula pebinaan negara bangsa Malaysia yang berjaya dan gemilang.

Pelarasan harga petrol dan gula

Saturday, December 4, 2010

Setelah harga petrol ron 97 meningkat sebanyak 15 sen kepada RM2.30 pada 1/12/2010, hari ini giliran ron 95 pula untuk meningkat sebanyak 5 sen kepada RM1.90 berbanding RM1.85 sebelum ini. Kenaikan ini juga disertai beberapa barangan lain iaitu diesel naik 5 sen kepada RM1.80, LPG naik 5 sen kepada RM1.90 dan gula naik sebanyak 20 sen kepada RM2.10.



Khabar angin yang bertiup kencang di laman-laman sosial beberapa hari sebelum ini akhirnya menjadi kenyataan. Antara sebab yang diberikan berkenaan kenaikan ini ialah pelarasan subsidi. Ini adalah kerana harga barang-barang tersebut telah meningkat di pasaran global

Ada juga yang berpendapat kenaikan ini adalah wajar dan sesuai. Ianya tidak akan memberikan impak yang besar kerana kadar kenaikan adalah kecil. Di samping itu kenaikan ini diharapkan sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kegiatan penyeludupan keluar barang-barang tersebut ke negara jiran yang harganya lebih tinggi.

Apa yang lebih dibimbangkan ialah kenaikan ini akan membawa kesan berantai terhadap barangan lain. Dikhuatiri kesempatan ini diambil sepenuhnya oleh peniaga untuk melonjakkan harga barangan mereka melebihi daripada kadar yang sepatutnya. Dan orang yang paling merasai kesannya ialah rakyat yang berpendapatan sederhana ke bawah.


Wikileaks goncang kestabilan dunia

Wednesday, December 1, 2010

Dalam dua hari ini banyak berita berkaitan Wikileaks diperkatakan. Wkileaks ialah sebuah laman web pendedah rahsia rasmi kerajaan. Kebanyakan rahsianya berkaitan dengan USA. Beratus ribu dokumen sulit telah didedahkan. Mungkin akan mencapai angka juta. Perbuatan itu mengejutkan dunia dan meletakkan hubungan antara negara dalam keadaan yang sulit.



Antara berita yang terkandung di dalamnya sebagaimana yang dipaparkan oleh sebuah stesyen TV di Malaysia ialah gesaan Raja Abdullah kepada USA supaya menyerang Iran, Israel mengadakan perbincangan dengan Fatah dan Mesir sebelum menyerang Gaza dulu dan tindakan USA menyelidik latar belakang kakitangan PBB. Sumber beritanya tak tahulah dari mana tetapi dikatakan datang dari seluruh dunia.

Itulah hebatnya sebuah laman web. Malah dikatakan pendedahan Wikileaks mampu membawa individu tertentu kepada dakwaan mahkamah, mampu menjatuhkan sesebuah kerajaan dan mampu mengubah iklim hubungan antara negara. Dijangka banyak lagi rahsia yang lebih sensitif akan didedahkan dalam masa yang terdekat.

Setakat ini nampaknya sebuah laman web telah meletakkan banyak pemimpin negara dalam keadaan bimbang dan ketakutan. Bukan individu, artis, selebriti dan tokoh politik je yang pernah tersungkur dek dunia siber, rupanya negara yang gagah perkasa boleh tumbang oleh bisanya dunia siber.

Hujan lebat di negeri Kelantan

Sunday, November 28, 2010

Sejak pagi semalam hujan lebat mula turun sekejap-sekejap sepanjang hari di negeri Kelantan. Ianya menjadi semakin kerap dan lebat pada sebelah petang sampailah ke malam hari dengan tiupan angin yang agak kencang. Keadaan ini dijangka akan berterusan untuk sehari dua lagi.



Sebagaimana yang dilaporkan di dalam akhbar-akhbar, banjir pusingan kedua kemungkinan besar akan berlaku di Kelantan dan juga Kedah serta Perlis yang baru saja dilanda banjir baru-baru ini.

Paras air di sungai Kelantan dijangka telah meningkat hari ini. Sawah bendang di belakang rumah kelihatan mula dipenuhi air, sampai melimpah menenggelami halaman belakang rumah saya. Tapi hujan telah agak reda kini. Cuma sebentar-sebentar saja. Kesan-kesan tiupan angin kencang malam tadi jelas kelihatan. Banyak pokok yang tumbang di sepanjang jalan. Ada juga beberapa buah bangunan yang dilaporkan tercabut atapnya.

Pagar Makan Padi..Majistret Rasuah, Pegawai Imigresen rasuah

Monday, October 4, 2010

KOTA BHARU - Seorang majistret dari Mahkamah Kuala Krai dan Machang di dapati bersalah menerima rasuah sebanyak RM8000.00 sebagai dorongan untuk melepaskan seseorang. Manakala di Seremban pula tiga orang, dua daripadanya pegawai imigresen ditahan kerana dipercayai menerima suapan bagi meloloskan PATI yang dibawa masuk ke negara ini. Dianggarkan mereka mampu menerima sehingga RM33,600.00 setiap minggu daripada tekong feri yang membawa PATI

Mereka adalah orang yang menjaga, menguatkuasa dan mentafsir undang-undang di negara ini. Tapi apa yang berlaku merekalah yang telah menodai undang-undang. Kalau macam ni, apa akan jadi dengan masa depan negara kita..siapa lagi yang rakyat boleh bergantung harap untuk menegakkan kedaulatan undang-undang. Inilah antara punca sebenar yang menyuburkan pelbagai jenayah dan gejala tidak sihat hari ini

PRK N45: Galas

Tuesday, September 28, 2010


ADUN Galas, Che Hasyim Sulaima telah kembali ke rahmatullah di Pusat Rawatan Islam Kampung Baru, di sini, kira-kira jam 4.30 petang semalam, 27 sept 2010. Allahyarham dikatakan meninggal akibat barah di bahagian paru-paru, yang mula dikesan sejak mei tahun lalu. Sebelum ini allahyarham pernah mendapat rawatan di China dan Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu. Beliau dimasukkan ke Pusat Rawatan Islam Kampung Baru sejak hampir seminggu yang lalu.

Allahyarham meninggalkan dua orang isteri dan 12 orang anak. Kematian itu juga menyebabkan berlakunya kekosongan wakil rakyat bagi kawasan Galas, sekaligus membuka laluan kepada pilihanraya kecil di kawasan tersebut.

Semoga Allah menggandakan pahala Allahyarham dan mengampunkan dosanya..rahmatilah beliau dan tempatkan beliau bersama orang-orang yang soleh. Terimalah qada' kematian yang pasti akan dilalui oleh semua orang ini.

Sosilawati Dibunuh Kejam

Sunday, September 12, 2010


Misteri kehilangan Susilawati Lawiya dan tiga lelaki bersamanya sejak hampir dua minggu lepas akhirnya terjawab dengan tertangkapnya tujuk suspek yang dipercayai terlibat dengan kes itu. Mengikut sumber kesemua mangsa telah di bawa ke sebuah ladang dan dipukul sehingga mati. Kemudian mayat mereka telah dibakar dan abu mayat mereka dibuang ke dalam laut di Pantai Morib. Manakala Kosmo online pula melaporkan abu mayat tersebut di buang ke dalam sebuah sungai berhampiran ladang gadong, Tanjung Sepat. Kejadian pembunuhan ini dikatakan berlaku di dalam sebuah ladang bersepadu di Tanjung Sepat. Di antara yang di tahan ialah seorang Datuk, remaja berusia 19 tahun dan wanita.

Rujukan
Utusan online/Kosmo online dan beberapa laman web

Al-Fatihah buat roh mereka semua. Semoga roh mereka ditempatkan bersama-sama orang yang soleh.

Pembunuhan ini menambahkan lagi siri pembunuhan kejam dalam negara kita. Sebelum ini ada yang dibunuh dan dipotong-potong lalu ditanam dan ada yang diletup. Kali ini mayat dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai. Terlalu sukar untuk dibayangkan betapa kejam dan dahsyatnya...

Beberapa perkara yang menyentuh fikiran saya di sini ialah;
1. Kehidupan kita semakin dipenuhi ketakutan dan rasa tidak selamat. Jenayah berada di sekeliling kita. Hampir setiap hari ada kes pembunuhan yang dilaporkan di dalam suratkhabar yang berlaku dalam negara kita. Kes curi, curi kenderaan, pecah rumah dan ragut sudah hampir menjadi kebiasaan.

2. Teringat semula kata-kata Tan Sri Musa Hassan bahawa ada campurtangan luar di dalam urusan kerja polis. Ada laporan yang mencatatkan, suspek kes Sosilawati mempunyai ramai kenalan VIP yang menyebabkannya 'terselamat' sebelum ini, di samping pengetahuannya dalam bidang undang-undang. Kita percaya dengan kenyataan tiada campurtangan dari KDN, tetapi tak mungkinkah campurtangan dari pihak lain?

3. Kemanusiaan semakin tipis. Manusia sanggup bertindak sekejam itu ke atas sesama manusia.

Selamat bersara Tan Sri Musa Hassan

Berdoa dan berusahalah semoga Malaysia sentiasa aman damai. Kita dapat tidur lena dan sentiasa merasa terjamin dan selamat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
 
 

Segala kandungan dalam blog ini adalah pendapat penulis. Jika ada yang salah, penulis pohon jutaan maaf, sentiasalah merujuk dan berpegang dengan pendapat yang lebih teguh dalilnya. Blog ini hanyalah sekadar perkongsian sesama insan daripada penulis yang lemah dan masih jahil