Tuesday, August 9, 2011

Mulut, Telinga....Ayuh Puasa Bersamaku


Aduh..penatnya puasa. Lapar dan haus meronta-ronta dalam jiwa. Memang salah satu tujuan puasa ialah supaya kita merasa lapar dan haus. Agar kita dapat menyelami keperitan hidup orang miskin. Bezanya orang miskin berlapar kerana tiada apa untuk dimakan, tetapi kita berlapar kerana menyahut perintah Allah. Lapar mereka adalah terpaksa tetapi lapar kita adalah ibadah yang mendapat pahala.



Alangkah ruginya jika puasa kita ini tidak mendapat pahala dari Allah. Puasa yang mendapat pahala hanyalah puasa yang menghindari makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkannya serta menahan seluruh anggota badan daripada perkara yang ditegah. Mata, mulut, telinga, hidung, kaki dan tangan semuanya mesti ikut berpuasa. Barulah ibadah itu mendapat pahala.

Ayuh anggota-anggotaku..berpuasalah bersamaku. Jangan kau khianati tuanmu ini. Binasa tuanmu adalah binasa juga bagimu. Kecewa tuanmu di hadapan Rabbul Jalil juga merupakan kecewa bagimu. Awas telingaku...jauhilah dari mendengar segala macam maksiat seperti umpatan, makian, hinaan dan cerita lucah. Sabda Nabi s.a.w maksudnya: "Yang mengumpat dan yang mendengar adalah berkongsi di dalam dosa." Juga janganlah engkau leka dengan suara-suara yang ditegah dan yang makruh. Lagu-lagu yang kau gemari sebenarnya adalah racun kepada jiwamu. Ia juga turut menghapuskan pahala puasa.

Begitu juga mulut, kasihanilah tuanmu. Janganlah keluar dari lidahmu sebarang dusta, perkataan sia-sia, umpat, adu domba, perkataan keji dan yang memutuskan silaturrahim. Imam al-Ghazali menukilkan bahwa sufyan pernah berkata: "Mengumpat itu merosakkan puasa." Mujahid pula berkata: "Dua perkara yang membatalkan puasa; mengumpat dan berbohong." Malah kiranya ada seseorang menyerang dan memakimu, maka balaslah dengan kata-kata: "Aku ini berpuasa, aku ini berpuasa."

Dengan itu selamatlah puasa tuanmu ini. Laparnya membawa faedah dan makna. Ada pahala untuknya dari Allah. Dan mudah-mudahan puasa itu menjadikan tuanmu ini dirahmati, diampuni dosanya dan terlepas dari azab neraka seperti yang dijanjikan Allah. Insya Allah

No comments:

Post a Comment